

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menyampaikan Sijil Penghargaan Khas serta wang sagu hati berjumlah RM10,000 kepada pemandu lori yang terlibat dalam insiden kemalangan di Terowong Menora pada 15 Jun lalu.
Pemandu lori berkenaan, Wong Tuck Meng, 40, diiktiraf sebagai seorang Wira Jalan Raya atas keberanian dan tindakan pantas beliau menggunakan kenderaan yang dipandunya untuk membantu memberhentikan sebuah bas yang hilang kawalan.
Tindakan tersebut berjaya mengelakkan tragedi yang lebih besar serta menyelamatkan nyawa ramai pengguna jalan raya. Pemandu bas berkenaan, Ahmad Yasin Ab. Malek, 41, turut hadir dalam majlis tersebut.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata penghargaan menerusi dana Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) itu diberikan kepada Tuck Ming, atas tindakan pantas beliau menyelamatkan nyawa 21 penumpang bas dalam kejadian berhampiran Terowong Menora, Perak, pada 15 Jun lepas.
"Oleh kerana kepantasan seorang pemandu, seorang wira yang mengambil tindakan walaupun mungkin membahayakan dirinya sendiri, tindakan itu telah berjaya mengelakkan satu kemalangan tragis dan menyelamatkan ramai nyawa manusia," katanya pada majlis penghargaan khas di bangunan Parlimen hari ini.
Sebagai tanda penghargaan atas keberanian luar biasa yang ditunjukkan, Kementerian Pengangkutan (MOT) telah mengadakan majlis penyerahan sijil penghargaan dan sumbangan tunai serta sesi liputan media di Dewan Banquet, Parlimen Malaysia, sejurus selepas YB Menteri membentangkan Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026 bagi Bacaan Kedua di Dewan Rakyat.

Pengiktirafan itu mencerminkan komitmen berterusan MOT dalam menghargai individu yang menunjukkan semangat tanggungjawab, keberanian dan keprihatinan terhadap keselamatan pengguna jalan raya.
Ia juga selari dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan nilai ihsan, kebersamaan dan kesejahteraan rakyat dalam membina ekosistem pengangkutan yang lebih selamat, berdaya tahan dan berperikemanusiaan.
Diharapkan tindakan terpuji ini dapat menjadi inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia untuk terus mengutamakan keselamatan jalan raya serta menyemarakkan budaya saling membantu ketika berdepan situasi kecemasan," tulisnya di halaman rasmi Facebook Kementerian Pengangkutan.





