
Kota Kinabalu: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata Kerajaan Sabah kekal komited memastikan perpaduan dan keharmonian terus menjadi asas pembangunan negeri.
Beliau berkata kerajaan negeri sentiasa menyokong program yang memupuk perpaduan dengan menghimpunkan rakyat daripada pelbagai latar belakang, sekali gus mengukuhkan hubungan antara masyarakat.
“Kita juga menjunjung aspirasi Malaysia Madani yang menekankan konsep kesejahteraan, ihsan, saling menghormati dan kemampanan dalam pembangunan negara sebagai asas kepada perpaduan yang kukuh serta kemakmuran bersama,” katanya pada sambutan Minggu Perpaduan Negara di pekarangan Kompleks Sukan Likas, di sini, Sabtu.
Hajiji berkata pemilihan Sabah sebagai tuan rumah sambutan Minggu Perpaduan Negara tahun ini merupakan satu penghormatan besar kepada negeri itu.
“Pada masa sama, ia juga merupakan pengiktirafan terhadap cara hidup rakyat Sabah yang sejak sekian lama menjadikan keharmonian dan kebersamaan sebagai warisan berharga yang diwarisi turun-temurun,” katanya sambil menambah bahawa itulah sumbangan terbesar Sabah kepada pembinaan negara Malaysia.
“Kita juga melihat saudara-saudara kita dari Semenanjung Malaysia dan Sarawak yang berada di sini bukan sekadar sebagai tetamu, tetapi sebagai anggota sebuah keluarga besar Malaysia,” katanya.
Ketua Menteri mengajak semua untuk menyelami serta mentafsir semula erti perpaduan sebagai persediaan mendepani masa depan yang lebih mencabar.
“Perpaduan sebenar tidak lagi boleh diukur hanya melalui kesopanan atau toleransi pasif.
“Sebaliknya, perpaduan yang tulen memerlukan tindakan nyata, komitmen berterusan, keikhlasan, saling menghormati dan yang paling penting, jaminan keadilan sosioekonomi serta kesaksamaan bagi setiap wilayah.
“Institusi kekeluargaan, apatah lagi sebuah negara majmuk yang besar seperti Malaysia, hanya akan benar-benar kuat dan berdaya tahan apabila setiap anggota, negeri dan wilayah merasakan mereka dihargai, dilindungi serta dibangunkan secara adil dan saksama.
“Dengan semangat kebersamaan yang tulen sebagai sebuah keluarga besar Malaysia, hidup dalam perpaduan adalah penting dan hidup dalam keharmonian juga sama penting dalam mencapai kemakmuran serta kesejahteraan yang berkekalan,” katanya.
Beliau turut menggesa rakyat Sabah agar terus memelihara keharmonian, menghargai kepelbagaian etnik dan agama serta memperkukuh semangat muhibah yang sekian lama menjadi identiti unik rakyat negeri itu.
“Dengan kerjasama yang kukuh, fokus kita terhadap perpaduan dan pembangunan sudah tentu dapat dicapai dengan lebih berkesan menerusi kesepakatan sosial dan komitmen politik yang melibatkan semua pihak.
“Marilah kita terus memperkukuh komitmen bersama untuk memelihara kemakmuran, mengukuhkan perpaduan dan memastikan keharmonian yang kita nikmati hari ini dapat terus diwarisi oleh generasi akan datang,” katanya.





