Hari Gawai: Lambang Perpaduan Rakyat Sarawak, Contoh Keharmonian Malaysia - Fadillah

LocalPolitics
31 May 2026 • 9:45 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Hari Gawai: Lambang Perpaduan Rakyat Sarawak, Contoh Keharmonian Malaysia - Fadillah

KUALA LUMPUR - Perayaan Hari Gawai Dayak yang disambut komuniti Dayak di Sarawak adalah lambang perpaduan rakyat pelbagai kaum dan agama yang menjadi asas keharmonian negeri itu sejak sekian lama. 

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, perayaan yang diraikan yang diraikan pada 1 dan 2 Jun setiap tahun ini, bukan sahaja melambangkan kesyukuran atas hasil tuaian, malah menjadi warisan budaya, identiti masyarakat serta simbol kukuhnya semangat kekeluargaan dalam kalangan masyarakat Dayak. 

Menurut beliau, kepelbagaian kaum, budaya dan kepercayaan yang mewarnai Sarawak, telah sekian lama menjadi contoh keharmonian yang memperkukuh identiti Malaysia.

“Semangat segulai sejalai, saling menghormati dan bekerjasama inilah yang menjadikan Sarawak terus maju serta diperakui sebagai antara contoh terbaik kestabilan, kebersamaan dan kesepakatan rakyat di negara ini. 

“Dalam dunia yang sedang berdepan ketidaktentuan ekonomi dan krisis tenaga global, Sarawak membuktikan bahawa kestabilan, perancangan mampan pucuk pimpinannya dan kesatuan rakyat, mampu menjadi kekuatan untuk terus melangkah ke hadapan,” katanya menerusi perutusan Hari Gawai hari ini.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air berkata, kejayaan Sarawak dalam pembangunan tenaga, ekonomi hijau dan kesejahteraan rakyat adalah hasil usaha bersama seluruh masyarakat tanpa mengira latar belakang.

“Semoga sambutan Gawai tahun ini terus menyatukan hati kita dalam semangat Segulai Sejalai, demi masa depan yang lebih maju makmur, lestari dan sejahtera untuk generasi akan datang.

“Selamat Hari Gawai, Gayu Guru, Gerai Nyamai, Lantang Senang Nguan Menua,” katanya. - Getaran, 31 Mei 2026