Kerajaan Selangor sedang dalam proses mengenalpasti lokasi untuk membina loji tenaga nuklear pertama Malaysia dengan ia dijangka dibangunkan menjelang 2030. Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata kawasan pesisir pantai antara Kuala Langat ke Sabak Bernam akan menjadi pilihan kerana loji memerlukan bekalan air untuk sistem penyejukan serta keperluan operasi.
Tambah beliau lagi, Majlis Nuklear Selangor yang dianggotai oleh ahli akademik dan pemain industri sedang merangka pelan hala tuju bagi mempersiapkan negeri itu untuk pembangunan industri nuklear. Selain itu Selangor juga telah menghantar tiga pelajar ke China untuk mengambil jurusan kejuruteraan nuklear di Harbin Institute of Technology dan Tsinghua University. Pada waktu yang sama 22 lagi pelajar akan dihantar ke institusi yang sama dengan sokongan pembiayaan sehinga tahap doktor falsafah.

Malaysia sudah berjinak-jinak dengan penggunaan tenaga nuklear sejak 2023. Pada waktu tersebut Menteri Ekonomi Rafizi Ramli dipetik berkata Malaysia tidak boleh cerewet untuk menggunakan tenaga nuklear sekiranya ia memenuhi kesemua permintaan dan keperluan negara. Malah menurut beliau lagi Malaysia tidak mempunyai kelapangan untuk menolak apa-apa sambil mengiktiraf potensi reaktor nuklear modular kecil.
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi turut mengatakan kerajaan sedang mempertimbangkan kuasa nuklear bagi memenuhi sasaran dasar sifar pelepasan karbon negara. Keperluan tenaga yang lebih lestari diperlukan kerana lonjakan permintaan elektrik oleh pusat-pusat data serta harga bahan api fosil sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Nuklear mempunyai reputasi buruk sejak ledakan Chernobyl dan Fukushima tetapi teknologi lebih terkini seperti reaktor thorium China dilihat lebih selamat sehingga boleh dibina di kawasan gurun tanpa sistem penyejukan air yang banyak.
Sumber – Media Selangor





