Selangor Beri Sarapan Percuma Kepada Pelajar Di 873 Sekolah Bermula Ogos, Mahu Ringankan Beban Ibu Bapa

LocalFamily & Parenting
16 Apr 2026 • 5:53 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

Image from: Selangor Beri Sarapan Percuma Kepada Pelajar Di 873 Sekolah Bermula Ogos, Mahu Ringankan Beban Ibu Bapa

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Kerajaan Negeri Selangor akan memberikan bantuan sarapan percuma kepada pelajar di semua 873 sekolah.

Menurut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, bantuan menerusi Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor itu akan disalurkan melalui 12 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bermula pada Ogos ini.

Jelas beliau, ianya bertujuan meringankan perbelanjaan ibu bapa susulan krisis tenaga global.

“Setiap hari, satu sekolah di setiap PBT akan disalurkan bantuan ini…kita akan menggilir sekolah-sekolah dan ia akan dilaksanakan untuk semua tahap.

“Kita akan laksanakan kerana kita akan memperuntukkan satu PBT RM1 juta buat masa ini dalam tempoh berapa bulan, misalnya dalam tiga bulan pertama dan kita akan melanjutkan jika ia memberikan kesan yang baik kepada masyarakat.

“Saya nak pastikan juga kualiti makanannya itu makanan yang baik, berprotein ataupun bergizi yang baik untuk tidak mengganggu tumbesaran mereka,” katanya dipetik Awani.

Beliau berkata demikian sewaktu sidang media Strategi Persediaan Kerajaan Negeri Selangor Mendepani Krisis Asia Barat di Wisma Dewan Negeri Selangor hari ini (16 April).

Difahamkan bantuan buat pelajar ini adalah sebahagian daripada peruntukan RM130.42 juta oleh kerajaan negeri menerusi Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 1 dalam usaha mendepani krisis global yang berlaku ketika ini.

Pakej fasa 1 ini juga bertujuan mengukuhkan keterjaminan bekalan makanan, mengurangkan kos sara hidup rakyat, selain mengawal inflasi daripada meningkat secara keterlaluan, lapor Berita Harian.

Antara inisiatif lain adalah peruntukan RM25 juta untuk menampung kos bahan api ataupun input pertanian, sebagai sokongan kepada pesawah, nelayan, petani, dan penternak yang menerima kesan daripada harga bahan api seperti diesel yang tinggi