Selangor beri tempoh hingga hujung Ogos kosong tapak nurseri Jalan Sungai Buloh

LocalPolitics
21 Apr 2026 • 2:50 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Selangor beri tempoh hingga hujung Ogos kosong tapak nurseri Jalan Sungai Buloh
Izham (kanan) pada sidang akhbar di Bangunan DUN Selangor pada Selasa

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor memberi tempoh lanjutan sehingga hujung Ogos ini kepada pengusaha tapak nurseri di Jalan Sungai Buloh untuk mengosongkan kawasan berkenaan sebelum projek pelebaran jalan bertingkat KWASA Damansara dimulakan pada September depan.

Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Ir. Izham Hashim berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira rayuan pengusaha meskipun proses pengosongan telah lama dimulakan sejak 2019 dan melalui beberapa siri notis serta keputusan dasar kerajaan negeri.

Menurutnya, kawasan terbabit terlibat dengan projek pembesaran jalan di bawah pihak berkuasa berkaitan dan tidak lagi boleh ditangguhkan kerana pembangunan telah dirancang untuk dilaksanakan tahun ini.

"Kerajaan negeri sudah melalui semua proses termasuk MMKN (Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri) sejak 2021.

"Notis terakhir juga telah dikeluarkan pada Disember 2021," katanya dalam sidang media di Bangunan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Selasa.

Beliau memaklumkan, seramai 38 pengusaha melibatkan 66 lot terlibat dalam pengosongan tersebut dengan sebahagian mempunyai lebih daripada satu lot.

Katanya, kerajaan negeri turut menyalurkan bayaran ex gratia sebanyak RM10,000 bagi setiap lot dengan jumlah keseluruhan RM660,000 sebagai tanda keprihatinan, namun masih terdapat 14 lot belum menerima bayaran tersebut.

"Kita sudah bayar kepada majoriti pengusaha dan hanya 14 lot masih belum dituntut, manakala empat lot sudah pun dikosongkan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan cadangan awal pemindahan ke Bukit Canggang, Kuala Langat terpaksa dikaji semula selepas mendapati kawasan itu berisiko banjir serta memerlukan kos pembangunan tinggi kerana keadaan tanah yang lembut.

Bagaimanapun, katanya, kawasan seluas kira-kira enam hektar di Bukit Canggang masih tersedia dan kerajaan negeri bersedia mempertimbangkan cadangan pengusaha sekiranya mahu membangunkannya sebagai tapak baharu secara komersial.

"Kita sediakan ruang, tetapi mereka perlu mengemukakan cadangan pembangunan dan kos ditanggung sendiri. Ini peluang komersial yang boleh dibincangkan secara bersama,” katanya.

Izham turut menjelaskan, kerajaan negeri tidak akan menanggung kos pembangunan tapak baharu selain terus memudahkan proses fasilitasi sekiranya pengusaha mempunyai cadangan lokasi lain yang sesuai dan sah di sisi undang-undang.

Tambahnya, walaupun terdapat dakwaan tidak menerima notis, pihak berkuasa menegaskan semua proses pemberitahuan telah dilaksanakan sejak sekian lama.

"Kita sudah beri tempoh yang lama, malah ada yang telah beroperasi lebih 20 tahun tanpa hasil kepada kerajaan negeri," katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri memahami impak kepada pengusaha terlibat.

"Bagaimanapun, keputusan terpaksa dibuat demi kelancaran pembangunan infrastruktur di kawasan berkenaan," jelas beliau.