Selepas 9 hari lolos dari Penjara Sungai Buloh, banduan warga Pakistan ditahan semula

19 Apr 2026 • 5:47 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Selepas 9 hari lolos dari Penjara Sungai Buloh, banduan warga Pakistan ditahan semula
Muhammad Hassan yang melarikan diri dari Penjara Sungai Buloh berjaya ditangkap semula di Jalan Gombak Lama pada Sabtu.

SHAH ALAM - Seorang banduan warga Pakistan yang melarikan diri dari Penjara Sungai Buloh pada 9 April lalu, berjaya ditangkap semula di Jalan Batu 14, Jalan Gombak Lama pada Sabtu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, banduan berkenaan diberkas kira-kira jam 5 petang.

"Pihak polis merakamkan penghargaan atas kerjasama semua pihak yang membantu sehingga banduan tersebut berjaya ditangkap bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terus terpelihara," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Media sebelum ini melaporkan, polis telah memperhebat operasi memburu dan menjejaki tahanan reman berusia 24 tahun itu.

Tahanan itu ialah Muhammad Hassan yang menghadapi beberapa pertuduhan termasuk kes seksual di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan, Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana merompak selain Seksyen 15(1)(C) Akta Imigresen 1959/63.