SHAH ALAM - Kerajaan Selangor sekali lagi membuktikan keupayaannya apabila tampil sebagai negeri pertama memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi bagi mendepani krisis tenaga global.
Ahli Majlis Pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor, Danish Hairudin berkata, pengumuman Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor berjumlah RM131 juta bukan sekadar reaksi terhadap situasi semasa, sebaliknya langkah awal yang tegas bagi memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara.
Menurutnya, inisiatif tersebut mencerminkan kesungguhan kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari yang sentiasa ke hadapan dalam menguruskan krisis dengan pendekatan tersusun.
"Kerajaan negeri mengambil langkah proaktif melalui penubuhan pasukan petugas khas serta pemantauan berkala bagi memastikan setiap tindakan yang dilaksanakan kekal relevan dan berkesan mengikut keperluan semasa,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Danish yang juga Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) berkata, pakej itu memberi tumpuan langsung kepada rakyat melalui pelaksanaan beberapa langkah konkrit bagi mengurangkan beban kos sara hidup.
"Antara inisiatif utama termasuk peruntukan RM50 juta bagi Gudang Makanan Selangor, pemberian Baucar Kita Selangor bernilai RM100 sebulan kepada 50,000 penerima serta bantuan RM25 juta kepada lebih 17,000 pengusaha sektor pertanian," jelas beliau.
Katanya, langkah itu membuktikan kerajaan negeri memahami kesan rantaian krisis tenaga global yang memberi tekanan kepada harga makanan, inflasi serta kos sara hidup rakyat.
"Pendekatan menyeluruh ini bukan sahaja memberi perlindungan jangka pendek kepada rakyat, malah menjadi asas penting dalam memastikan kestabilan ekonomi negeri terus terjamin," jelas beliau.
Beliau turut menegaskan, usaha tersebut dilihat sebagai langkah strategik dalam mempersiapkan Selangor menghadapi cabaran masa depan termasuk melalui penerokaan sumber tenaga alternatif.
"Kerjasama erat dengan kerajaan Persekutuan juga akan terus diperkukuhkan bagi memastikan setiap inisiatif yang dilaksanakan memberi impak maksimum kepada rakyat dan ekonomi negeri," tambahnya.
Menurut Danish, kepimpinan yang proaktif dan berpandangan jauh seperti ini amat penting dalam memastikan Selangor kekal stabil serta mampu berdepan sebarang ketidaktentuan global.
"Ini adalah contoh kepimpinan yang mendahului krisis, memastikan rakyat terus terbela dan ekonomi negeri berada pada landasan kukuh walau dalam keadaan mencabar," katanya.






