Selangor destinasi pelancongan utama, sasaran lapan juta pelancong yakin dicapai

LocalTravel
15 Dec 2025 • 10:02 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

PETALING JAYA, 15 DIS: Selangor mengekalkan kedudukan sebagai destinasi pelancongan utama negara apabila mencatat jumlah pelawat tertinggi di Malaysia selama empat tahun berturut-turut.

EXCO Pelancongan Dato’ Ng Suee Lim berkata, pada 2004 negeri itu menerima 34.5 juta pelawat harian yang kebanyakannya hadir secara singgah sebentar atau ‘touch and go’.

“Kita mahu pengunjung bukan hanya datang sekejap, tetapi menginap dan berbelanja di Selangor,” katanya ketika berucap pada sambutan Krismas peringkat negeri 2025 di pusat beli-belah 1 Utama di sini semalam.

Tambah beliau, setakat suku ketiga 2025, Selangor menerima 6.4 juta pelawat, iaitu 80 peratus daripada sasaran lapan juta pengunjung bagi tahun ini.

Beliau optimis sasaran itu dapat dicapai sepenuhnya berdasarkan perkembangan semasa dan pelbagai program yang dianjurkan.

image is not available
EXCO Pelancongan Dato’ Ng Suee Lim berucap ketika majlis sambutan perayaan Krismas peringkat negeri Selangor 2025 di One Utama pada 14 Disember 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Suee Lim turut menyarankan supaya program seperti sambutan Krismas diteruskan pada tahun depan dengan penglibatan pihak berkuasa tempatan, daerah serta kerjasama budaya pelbagai pihak yang menjadi tarikan utama pelancong.

Katanya lagi, persiapan sedang giat dijalankan untuk Selangor menjadi tuan rumah Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 dari 15 hingga 24 Ogos tahun depan.

Jelas beliau, pelancongan sukan dijangka menjadi segmen yang lebih kukuh dengan sokongan berterusan daripada agensi kerajaan, sektor swasta dan orang ramai.

Penganjuran acara sukan berskala besar bukan sahaja meningkatkan kemasukan pelancong malah turut memacu ekonomi setempat dan memberi peluang perniagaan kepada rakyat.

Inisiatif ini seiring usaha menjadikan Selangor sebagai destinasi pelancongan menyeluruh yang merangkumi pelbagai segmen termasuk kebudayaan, sukan dan acara komuniti.