
SHAH ALAM, 24 NOV: Selangor FC berhasrat mengekalkan khidmat pemain sayapnya Mohamad Faisal Abdul Halim untuk tempoh yang panjang susulan prestasi memberangsangkan sejak menyertai skuad Gergasi Merah musim ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Dr Johan Kamal Hamidon berkata perbincangan mengenai kontrak bersama pemain yang mesra disapa ‘Mickey’ sedang berlangsung.

“Mickey masih pemain Selangor dan masih fokus serta komited untuk menghabiskan musim ini dengan baik. Sekarang ini, kita sedang berbincang mengenai kontrak.
“Dalam kontrak dia ada beberapa klausa tertentu (tak boleh dedahkan) tetapi kami sedang berbincang. Mickey adalah pemain penting buat Selangor.
“Sudah pasti kita mahu simpan pemain terbaik di Selangor. Kalau boleh nak simpan dia selama yang mungkin. Kami gembira dengan Mickey dan dia pun gembira dekat Selangor, jadi harap kita boleh lanjutkan,” katanya.
Beliau ditemui selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Selangor FC dan syarikat teknologi Citadel Group Technologies di sini, hari ini yang disaksikan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.

Ketika ini khabar angin mengaitkan pemain skuad Harimau Malaya berusia 25 tahun itu bakal menyertai pasukan Johor Darul Takzim (JDT) pada musim depan.
Faisal yang menyertai Selangor daripada Terengganu FC musim ini menjadi antara watak utama membantu juara Piala Malaysia terbanyak itu berada di kedudukan kedua Liga Super yang berbaki tiga perlawanan musim ini.
Pemain utama skuad kendalian Kim Pan Gon itu turut mengumpul 11 gol dalam kempen Liga Super dan menjaringkan satu gol dalam saingan Piala FA musim ini.

The post Selangor FC hasrat simpan Faisal selama mungkin susulan prestasi memberangsangkan appeared first on Selangorkini.

