
Selangor FC sedang meneliti dan mengkaji semua saluran bersesuaian untuk mengambil tindakan seterusnya berikutan denda yang dikenakan Malaysian Football League (MFL) kepada pasukan itu.
Perkhabaran terkini itu dikongsikan pengurusan Selangor FC menerusi laman X rasmi pasukan pada Selasa malam.
Menurut kenyataan tersebut, kelab memohon penangguhan perlawanan tersebut selepas kes jenayah serangan asid kepada pemain sayap pasukan, Faisal Halim.
"Pihak Kelab mengambil maklum akan keputusan Malaysian Football League (MFL) tentang kes ketidakhadiran Selangor FC ke Perlawanan Piala Sumbangsih yang juga merupakan aksi pertama Liga Super pada 10 Mei lalu.
"Untuk makluman, pihak Kelab telah memohon penangguhan perlawanan tersebut selepas kes jenayah serangan asid terhadap Faisal Halim pada 5 Mei yang lalu, dan beberapa lagi insiden lain yang melibatkan pemain bola sepak tanah air, namun permohonan tersebut telah ditolak.
"Oleh itu, pihak Kelab sedang meneliti dan mengkaji semua saluran yang bersesuaian untuk mengambil tindakan seterusnya," kata kenyataan itu.



