
KUALA LUMPUR - Kerajaan negeri Selangor memutuskan untuk tidak meneruskan pemberian lesen penternakan babi kepada mana-mana pihak di negeri Selangor, kata Menteri Besar, Datuk Seri Amiruddin Shari.
Menurut Amiruddin, keputusan itu dibuat dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dan selaras dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang tidak berkenan penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah di Negeri Selangor.
Menurut Amiruddin, sejak Januari, Kerajaan Negeri telah memberhentikan pengeluaran lesen penternakan babi dan memfokuskan kepada pengosongan tapak ladang yang sedia ada di Tanjong Sepat.
“Bagi ladang penternakan yang beroperasi sebelum ini, kawasan tersebut akan ditutup dengan kadar lebih pantas secara berperingkat dengan kerjasama Jabatan Veterinar Negeri Selangor.
“Setakat ini, 70% daripada keperluan masyarakat bukan Islam bagi daging babi bersumberkan import dari negeri-negeri lain, dan selepas keputusan MMKN, keseluruhan keperluan tempatan akan diimport sepenuhnya oleh industri terbabit,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Amiruddin, sebarang pengeluaran dan kelulusan lesen import akan dirujuk kepada Kerajaan Persekutuan selaras dengan bidang kuasa pemberian lesen.
Keputusan itu, katanya diambil bagi menjaga sensitiviti masyarakat yang khuatir terhadap impak ladang penternakan ini kepada alam sekitar termasuk saliran air dan pencemaran bau.
“Dengan keputusan ini, sebarang polemik berkaitan isu babi harus dihentikan dan tidak dipanjangkan oleh mana-mana pihak yang mungkin bertujuan menggugat keharmonian dan menimbulkan perasaan syak wasangka di antara masyarakat negeri Selangor yang berbilang kaum dan agama,’’ katanya.
Baru-baru ini, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menyarankan kerajaan supaya memberikan lesen untuk pengimportan daging babi bagi menampung permintaan dan keperluan orang bukan Islam khususnya kaum Cina di Negeri Selangor sahaja.
Dengan kaedah ini, titah Baginda, ia bukan sahaja dapat menyelesaikan isu penternakan babi yang sudah lama berlaku, malah dalam masa yang sama Kerajaan Negeri boleh mengoptimumkan penggunaan tanah di Selangor bagi tujuan lain seperti pembangunan dan penempatan.
Pada masa sama, Baginda menegaskan bahawa Baginda tidak berkenan penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah di Negeri Selangor.
Baginda juga menegaskan agar isu penternakan babi ini dapat dihentikan dan dimuktamadkan kerana ia menimbulkan keresahan kepada semua pihak dan menjejaskan keamanan dan keharmonian masyarakat. - 12 Februari, 2026
The post Selangor henti beri lesen penternakan babi, ladang sedia ada ditutup berperingkat: MB appeared first on Scoop.

