Selangor isytihar 1 Sept cuti peristiwa sempena kejayaan SUKMA

25 Aug 2026 • 8:26 AM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

Image from: Selangor isytihar 1 Sept cuti peristiwa sempena kejayaan SUKMA

Selangor mengisytiharkan 1 Sept sebagai cuti peristiwa selepas kontinjen negeri muncul juara keseluruhan SUKMA 2026 dengan 101 emas.

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor mengisytiharkan 1 Sept sebagai cuti peristiwa sempena kejayaan kontinjen negeri itu muncul juara keseluruhan Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 yang berlangsung di laman sendiri.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari mengumumkan perkara itu pada Majlis Penutup SUKMA 2026 yang berlangsung di Aneka Walk, SA Sentral, di sini, malam tadi (Ogos 24).

Amirudin berkata pengisytiharan cuti peristiwa itu merupakan tanda penghargaan kerajaan negeri kepada seluruh kontinjen Selangor yang telah mengharumkan nama negeri menerusi pencapaian cemerlang pada temasya berkenaan.

“Bagi atlet-atlet Selangor, anak-anak kita yang mewakili Pasukan Merah Kuning, setelah 468 acara sukan yang dipertandingkan, anda telah berjaya memenangi sebanyak 101 pingat emas, 73 pingat perak dan 71 pingat gangsa,” katanya.

Beliau berkata kejayaan itu turut mencerminkan komitmen serta usaha gigih atlet, jurulatih dan pegawai kontinjen Selangor dalam memastikan sasaran negeri pada SUKMA 2026 dapat dicapai.

Amirudin turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang memberikan sokongan kepada kontinjen Selangor sepanjang temasya berkenaan.

“Kepada semua yang telah bersama-sama sejak hari yang pertama, saya mengucapkan terima kasih kerana memberikan kepercayaan kepada Selangor sebagai tuan rumah SUKMA dan Para SUKMA ke-22 bagi temasya tahun 2026.

“Kepada para jurulatih dan ketua-ketua kontinjen, tahniah atas usaha anda semua untuk mengasah bakat dan mengenal pasti ahli sukan yang baharu,” katanya.

Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari.

Kontinjen Gergasi Merah menjuarai temasya sukan berprestij itu dengan kutipan 101 pingat emas, 73 perak dan 71 gangsa, sekali gus mengatasi pencapaian terbaik Selangor ketika pertama kali menjadi tuan rumah SUKMA, 28 tahun lalu, yang turut melebihi sasaran 80 pingat emas.

Kejayaan itu merupakan kali ke-10 Selangor muncul juara keseluruhan selepas menjuarai edisi 1988, 1996, 1998, 2000, 2002, 2004, 2006, 2013 dan kali terakhir pada 2016 di Sarawak.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved