SHAH ALAM – Ahli Parlimen Subang, Wong Chen mendakwa angka yang didedahkan kerajaan negeri Selangor mengesahkan bahawa tanah berhampiran Hutan Ayer Hitam, Puchong seluas kira-kira 67.9 hektar dijual pada harga RM13.80 sekaki persegi selari dengan semakan melalui Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (Napic).
Chen berkata, pengesahan harga keseluruhan RM101 juta tanah itu yang dijual kepada Kumpulan Jakel (Jakel) secara langsung menunjukkan kadar sebenar per kaki persegi.
“Menteri Besar dalam kenyataannya telah mengesahkan tanah itu dijual pada RM13.80 sekaki persegi, walaupun penjelasannya agak panjang. Apabila beliau menyatakan jumlah RM101 juta, itu secara langsung membuktikan kadar tersebut.
“Ini bermakna data RM13.80 sekaki persegi yang kami peroleh daripada Napic adalah betul. Sama ada kadar RM13.80 sekaki persegi itu murah atau tidak, saya serahkan kepada penilai profesional dan pakar hartanah,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Sabtu.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai kenyataan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berhubung isu tanah tersebut pada Jumaat.
Amirudin menjawab tiga dakwaan yang menurutnya sering diulang iaitu bahawa tanah tersebut ialah rizab hutan yang dinyahwartakan, telah diluluskan untuk pembangunan dan dijual di bawah nilai pasaran.
Menurutnya, dua daripada isu berkenaan terutama berkaitan status tanah sebenarnya telah dijelaskan sejak Disember tahun lalu namun dakwaan itu terus diulang sehingga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk berhampiran kawasan Hutan Ayer Hitam.
“Namun begitu, masih terdapat pihak yang mengulangi dakwaan palsu bagi meraih sokongan politik murahan.
“Tindakan ini telah menimbulkan keresahan dalam kalangan penduduk yang beranggapan bahawa kawasan seluas kira-kira 67.9 hektar yang terletak berhampiran Hutan Simpan Ayer Hitam di Kinrara akan dibangunkan untuk tujuan komersial ataupun perumahan,” katanya.
Kata beliau, tanah berkenaan yang dirujuk bukan merupakan kawasan Hutan Simpan Kekal kerana tanah tersebut telah dinyah warta pada tahun 1926, 100 tahun lalu.
Jelasnya, berhubung isu pembangunan pula, pentadbiran ini tidak pernah meluluskan sebarang pembangunan di kawasan itu.
“Isu ketiga adalah melibatkan harga tanah tersebut dijual kononnya di bawah harga pasaran, iaitu pada harga RM13.80 sekaki persegi bersamaan dengan RM101 juta. Susulan daripada keputusan Kerajaan Negeri untuk membatalkan projek perumahan tersebut, pada 2012 tanah tersebut dihasratkan untuk dijual melalui proses tender terbuka.
“Kemudian, juruperunding hartanah telah dilantik untuk menilai harga pasaran tanah pada tahun 2012. Nilai yang dimuktamadkan adalah RM13.02 sekaki persegi ataupun RM95.3 juta secara keseluruhan.
“Tiga syarikat telah terlibat dalam proses tender terbuka dan keputusan telah diambil untuk menjual tanah tersebut pada harga RM101 juta, iaitu kadar 5.90 peratus melebihi harga penilaian,” katanya.
Pada 16 April lalu, Chen dilapor menggesa kerajaan negeri Selangor menjelaskan mengenai dakwaan bahawa tanah berhampiran Hutan Ayer Hitam telah dijual pada harga rendah.
Beliau berkata, semakan melalui Napic menunjukkan tanah tersebut diperoleh Jakel pada harga hanya RM13.80 bagi setiap kaki persegi.
Chen turut mendesak kerajaan negeri membeli semula tanah itu daripada pemaju sekiranya dakwaan tersebut benar.
Mengulas lanjut, Chen turut mencabar Amirudin menamakan individu atau pihak yang didakwa menyebarkan ‘dakwaan palsu’ dan ‘pihak tidak bertanggungjawab’ yang dimaksudkannya berhubung isu penjualan tanah tersebut yang cuba meraih sokongan politik murahan.
“Saya menasihatkan Menteri Besar supaya menamakan secara jelas individu atau pihak yang dimaksudkan pihak tidak bertanggungjawab dan pihak yang mengulangi dakwaan palsu dengan hasrat meraih sokongan politik murahan.
“Dalam semua kenyataan media saya dari Disember 2025 hingga April 2026, saya tidak pernah mendakwa tanah itu adalah sebahagian rizab hutan atau telah diluluskan untuk pembangunan,” katanya.
Ujar Chen, beliau secara konsisten hanya meminta penjelasan mengenai kronologi bagaimana tanah terbabit dinyahwartakan dan kemudian dijual kepada Jakel, termasuk butiran transaksi dan harga jualan.

