Selangor kaji kesesuaian BDR, elak jejas produktiviti - Mohd Najwan

LocalPolitics
2 Apr 2026 • 12:05 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Mohd Najwan

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor sedang meneliti secara menyeluruh cadangan pelaksanaan bekerja dari rumah (BDR) bagi memastikan ia sesuai dilaksanakan tanpa menjejaskan produktiviti perkhidmatan awam dan sektor berkaitan.

Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi berkata, perkara itu kini dalam perbincangan di peringkat jawatankuasa negeri dan memerlukan kajian terperinci sebelum sebarang keputusan dibuat.

Menurutnya, tidak semua sektor pekerjaan sesuai untuk dilaksanakan secara BDR kerana setiap bidang mempunyai keperluan dan tuntutan kerja yang berbeza.

"BDR ini perlu dikaji kerana tidak semua segmen pekerjaan sesuai kerana ada yang mungkin lebih produktif dan jimat kos jika bekerja dari rumah, begitu juga sebaliknya.

"Kita tidak mahu pelaksanaan ini nanti menjejaskan produktiviti kerajaan atau negara," katanya ketika ditemui semasa Majlis Pelancaran Semula Giant Stadium Shah Alam di Seksyen 13 di sini pada Khamis.

Mohd Najwan memberitahu, kajian itu membabitkan jabatan kerajaan negeri serta anak syarikat di bawah pentadbiran Selangor, selain mendapatkan maklum balas daripada pihak swasta.

"Kita akan dapatkan pandangan semua pihak termasuk sektor swasta bagi memastikan dasar ini dapat dilaksanakan dengan baik.

"Kita faham ramai yang mahukan BDR kerana dapat menjimatkan kos terutama melibatkan pengangkutan, tetapi dalam masa sama tidak mahu ada pihak mengambil kesempatan atau menjejaskan prestasi kerja," katanya.

Mohd Najman mengakui pelaksanaan BDR yang dilaksanakan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dahulu mempunyai kelebihan dan kekurangannya.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga akan mempertimbangkan pendekatan lebih fleksibel termasuk kemungkinan pelaksanaan secara berperingkat atau mengikut syif berdasarkan keperluan kerja.

"Kita akan lihat mungkin dari segi masa atau keperluan tertentu kerana tidak semua sektor ekonomi memerlukan pekerja bekerja dari rumah, jadi ia perlu diteliti dengan mendalam," jelas beliau.

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan projek pembangunan semula Stadium Shah Alam kini dalam proses pelaksanaan dan akan diumumkan dari semasa ke semasa oleh Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI Selangor) selaku agensi pelaksana.

Sinar Harian pada Rabu melaporkan, kerajaan mengumumkan pelaksanaan dasar BDR bagi sektor awam dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bermula 15 April depan sebagai langkah proaktif dalam mendepani krisis tenaga global.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi mesej video berkata, keputusan itu, yang dicapai dalam Mesyuarat Jemaah Menteri, bertujuan mengurangkan penggunaan bahan api dan memastikan kemampanan bekalan tenaga negara yang terkesan akibat konflik di Asia Barat.