SHAH ALAM - Kerajaan Selangor kini mengalih tumpuan kepada usaha menangani miskin relatif selepas berjaya menoktahkan kemiskinan tegar di negeri ini.
Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat negeri, Anfaal Saari berkata, meskipun miskin tegar telah berjaya disifarkan hasil pelbagai inisiatif termasuk kerjasama kerajaan Persekutuan dan negeri, cabaran seterusnya adalah memastikan rakyat menikmati kehidupan lebih selesa.
"Kita telah berjaya tamatkan miskin tegar melalui bantuan-bantuan kerajaan termasuk program Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas).
"Namun, miskin relatif masih ada dan kini menjadi fokus utama kerajaan negeri,” katanya kepada Sinar Harian selepas diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan isu kemiskinan tegar di Selangor telah dinoktahkan hasil pelaksanaan pelbagai inisiatif pembasmian kemiskinan berkesan.
Anwar berkata, perkara itu dimaklumkan kepadanya dalam Mesyuarat Pembangunan Daerah Petaling yang beliau pengerusikan di Shah Alam pada Rabu.
Anfaal memberitahu, pendekatan kerajaan negeri kini tidak lagi tertumpu kepada pembasmian kemiskinan semata-mata, sebaliknya beralih kepada meningkatkan kualiti hidup rakyat.
Katanya, dengan pendapatan median isi rumah di Selangor kini mencecah sekitar RM10,000, penetapan garis kemiskinan sekitar RM2,000 dilihat tidak lagi mencerminkan realiti semasa.
"Kita perlu bergerak ke arah memastikan kehidupan rakyat lebih selesa, bukan sekadar melepasi garis kemiskinan,” ujarnya.
Jelas beliau, kejayaan menoktahkan kemiskinan tegar itu dicapai sekitar Mac lalu menerusi pelaksanaan inisiatif Bingkas dengan peruntukan kira-kira RM5 juta.
"Inisiatif ini melibatkan bantuan kepada kira-kira 1,315 isi rumah yang dikenal pasti tidak produktif,” katanya.
"Kerajaan negeri turut memantau data kemiskinan secara berkala melalui pasukan petugas khas yang bermesyuarat setiap suku tahun bagi memastikan tiada golongan tercicir," tambah beliau.




