

OLEH DEWI ABDUL RAHMAN
KUALA SELANGOR, 29 JULAI: Kepadatan penduduk yang tinggi dikenal pasti sebagai antara punca peningkatan kes jenayah di beberapa daerah utama Selangor seperti Kajang, Gombak dan Klang, kata Dato’ Menteri Besar.
Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, jumlah penduduk yang besar dengan latar belakang berbeza-beza menuntut perhatian serius dalam aspek keselamatan awam dan pengurusan sosial.
“Data ini memang sentiasa berjalan, namun kita perlu teliti faktor-faktornya serta langkah susulan untuk mengatasinya.
“Kepadatan penduduk memang menjemput hal tersebut kerana kita menjemput orang daripada pelbagai ragam,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan keadaan keselamatan di Selangor masih terkawal hasil kecekapan pasukan polis dalam menjalankan tugas mereka.
“Saya ingin ucapkan terima kasih kepada anggota polis kerana walaupun berlaku jenayah, pihak berkuasa masih mampu mengawal kestabilan dan keamanan di Selangor,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pertandingan Kawad Kaki Pasukan Badan Beruniform Piala Dato’ Menteri Besar Selangor di Universiti Selangor (UNISEL), Bestari Jaya, hari ini.
Dalam program bual bicara Agenda AWANI, malam tadi, bekas Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan memaklumkan Kajang, Gombak dan Klang merupakan tiga daerah tertinggi mencatatkan kes jenayah dalam kalangan 16 daerah di negeri ini dengan Kajang merekodkan jumlah tertinggi setakat ini.

The post Selangor komited tangani isu jenayah di daerah padat penduduk appeared first on Selangorkini.
