
SHAH ALAM – Semua kawasan di Selangor dijangka mempunyai akses jalan raya yang lebih menyeluruh dalam tempoh 10 tahun menerusi Pelan Strategik Jalan dan Lebuh Raya Selangor 2026-2036 (Jalur Selangor).
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, penyediaan jaringan jalan raya yang menyeluruh itu penting bagi memastikan setiap kawasan di negeri ini mempunyai akses perhubungan yang baik.
Katanya, langkah tersebut juga selari dengan hasrat kerajaan negeri untuk menjadikan Selangor sebagai negeri pertama di Malaysia yang mencapai nilai ekonomi RM500 bilion.
“Dalam ikhtiar kita mencapai sasaran RS-2 (Rancangan Selangor ke-2) untuk memacu Selangor menjadi negeri pertama yang bernilai ekonomi RM500 bilion, kecekapan sistem jaringan perhubungan merupakan aspek utama yang perlu dititikberatkan.
“Justeru, Jalur Selangor menjadi satu rujukan utama dalam perancangan dan pembangunan infrastruktur jalan untuk negeri,” katanya ketika berucap pada pelancaran Jalur Selangor di sini, hari ini.
Menurut Amirudin, sebanyak 115 cadangan strategik ditetapkan menerusi pelan berkenaan melibatkan pembangunan dan penaiktarafan rangkaian jalan raya di seluruh Selangor.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 35 cadangan membabitkan pembinaan jalan dan lebuh raya baharu bagi menyambungkan jajaran yang terputus.
“Sebanyak 64 lagi adalah projek menaik taraf atau melebarkan jalan raya, manakala 16 cadangan melibatkan kerja menaik taraf dan pembinaan jejambat di persimpangan kritikal,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, keseluruhan cadangan strategik tersebut dianggarkan menelan kos RM77 bilion, namun tidak kesemuanya akan dibiayai kerajaan negeri.
“Kerajaan negeri hanya akan membiayai jalan negeri sahaja. Banyak kerja pembinaan dan naik taraf jalan akan dilakukan di kawasan Pembangunan Bersepadu Wilayah Selatan Selangor (IDRISS) dan kawasan Pembangunan Kawasan Sabak Bernam (SABDA),” jelasnya. – KOSMO! ONLINE
The post Selangor lengkap jaringan jalan 10 tahun lagi appeared first on Kosmo Online.




