
SHAH ALAM, 16 NOV: Kerajaan Negeri mahu memperkukuh sokongan kepada penjaja dan peniaga kecil menerusi kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi membantu mereka mengembangkan perniagaan.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata penganjuran Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Selangor (HPPKS) 2026 menjadi antara platform menghimpunkan golongan berkenaan, dengan penyertaan peniaga dicadangkan oleh PBT masing-masing.
“Kerajaan Negeri mahu memastikan penjaja dan peniaga kecil mendapat sokongan serta dorongan daripada PBT bagi membolehkan mereka meneruskan dan mengembangkan perniagaan ke tahap lebih baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup HPPKS 2026 di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, malam tadi.

Menurut Amirudin, penganjuran program itu bukan sekadar menghimpunkan usahawan mikro, penjaja dan peniaga kecil, sebaliknya turut menjadi platform memperkukuh sokongan kepada mereka.
Beliau berharap perniagaan yang diusahakan golongan berkenaan menjadi sumber rezeki halal, selain menyumbang kepada peningkatan ekonomi keluarga, masyarakat, negeri dan negara.
HPPKS 2026 yang berlangsung selama dua hari bermula 14 November di Dataran Kemerdekaan Shah Alam menyasarkan penyertaan 100 usahawan dan kehadiran 15,000 pengunjung.
Program itu turut memberi pendedahan kepada peniaga kecil mengenai penggunaan teknologi digital dalam pemasaran dan pengurusan perniagaan, termasuk menerusi Platform Selangor (PLATS).
Antara pengisiannya ialah pertandingan PLATS Raja Seller Selangor, PLATS Live Sales Challenge dan reruai jualan, selain memperkenalkan program bantuan, skim pembiayaan serta latihan keusahawanan.






