HPPKS 2026: Usahawan roti 'Sourdough' Selangor kini pembekal hotel

LocalStartup
16 Nov 2026 • 1:00 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

HPPKS 2026: Usahawan roti 'Sourdough' Selangor kini pembekal hotel

SHAH ALAM, 16 NOV: Minat mendalam pembuatan roti 'sourdough' di dapur rumah membuahkan hasil lumayan buat Kholijah Jaafar, 60, apabila beliau kini mengorak langkah sebagai pembekal kepada restoran dan hotel.

Kholijah turut berkongsi perniagaan kecil-kecilan bersama suaminya itu kini bertukar menjadi legasi keluarga setelah anaknya turut berminat menyambung perusahaan tersebut.

“Pada mulanya saya hanya buat secara kecil-kecilan di rumah kerana minat, tetapi sekarang sudah mempunyai kedai dan turut membekalkan roti kepada restoran serta hotel,” katanya ketika ditemui Media Selangor pada program Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Selangor (HPPKS) 2026 di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, semalam.

Menurutnya, faktor perkembangan perniagaan beliau adalah disebabkan keistimewaan roti yang dihasilkan tanpa penggunaan gula dan bahan pengawet, selain mengutamakan bahan yang lebih baik untuk kesihatan.

Image from: HPPKS 2026: Usahawan roti 'Sourdough' Selangor kini pembekal hotel
Usahawan roti sourdough, Kholijah Jaafar mempromosikan produk keluarannya pada program Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Selangor (HPPKS) 2026 di Dataran Kemerdekaan Shah Alam. Foto ADAM DARWISH/MEDIA SELANGOR

Usahawan Platform Selangor (PLATS) ini bersyukur dapat menyertai program (HPPKS) kerana ia memberi peluang kepada peniaga untuk memperkenalkan produk masing-masing kepada orang ramai dengan lebih meluas.

Sementara itu, seorang lagi peniaga, Lalitha Muniandi, 50, tampil mengetengahkan kepelbagaian produk seperti hasil kraftangan, gubahan bunga dan kudapan menerusi inisiatif Wanita Berdaya Selangor.

Katanya, kesemua produk tersebut merupakan hasil berkenaan dihasilkan oleh golongan warga emas dan ibu tunggal sebelum dipasarkan kepada orang ramai pada harga berpatutan.

Image from: HPPKS 2026: Usahawan roti 'Sourdough' Selangor kini pembekal hotel
Peniaga, Lathita Muniandi ditemu duga semasa Majlis Penutupan Hari Penjaja Dan Peniaga Kecil Selangor 2026 di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, Selangor. Foto ADAM DARWISH/MEDIA SELANGOR

“Program seperti ini sangat membantu peniaga kecil kerana kami berpeluang menjana pendapatan, selain dapat berkongsi peluang dengan rakan-rakan lain khususnya ibu tunggal untuk turut memasarkan produk mereka,” katanya.

Penganjuran HPPKS 2026 bukan sekadar medan jualan tetapi menjadi pemangkin buat usahawan kecil meluaskan pasaran serta membina jaringan perniagaan yang lebih kukuh.

Image from: HPPKS 2026: Usahawan roti 'Sourdough' Selangor kini pembekal hotel
Ketibaan Dato Menteri Besar Selangor Dato' Seri Amirudin Shari ke Majlis Penutupan Hari Penjaja Dan Peniaga Kecil Selangor 2026 di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, Selangor pada 15 November 2026. Foto ADAM DARWISH/MEDIA SELANGOR

Berlangsung selama dua hari bermula 14 November di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, program dengan sasaran 100 penyertaan usahawan dan 15,000 pengunjung itu turut memberi pendedahan mengenai penggunaan teknologi digital dalam pemasaran serta pengurusan perniagaan.

Inisiatif berkenaan selaras dengan agenda pendigitalan Kerajaan Negeri menerusi Platform Selangor (PLATS) dalam usaha memperkasa daya saing peniaga kecil.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved