
SHAH ALAM, 6 APRIL: Selangor memulakan siri kunjungan hormat ke beberapa negeri sebagai persediaan awal menjelang penganjuran temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 dan Para SUKMA.
Delegasi negeri diketuai EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi dalam lawatan ke Perlis dan Kedah bagi menyampaikan jemputan rasmi kepada negeri terlibat.
Menurut Mohd Najwan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana SUKMA Selangor, kunjungan hormat tersebut merupakan tradisi setiap kali penganjuran temasya sukan dwitahunan itu.
“Lawatan dan kunjungan hormat ke setiap negeri yang terlibat merupakan tradisi dan formalisasi setiap kali penganjuran SUKMA,” katanya.
Beliau turut memberi jaminan bahawa segala persiapan bagi temasya berkenaan berjalan lancar walaupun terdapat kebimbangan terhadap ketidaktentuan global.
“Saya turut memberi jaminan segala persiapan menjelang temasya sukan ini berjalan lancar dikala wujud kebimbangan ketidaktentuan global akibat konflik di Asia Barat,” katanya dalam kenyataan.
Dalam masa sama, beliau memaklumkan isu kenaikan kos logistik akan dibawa ke perhatian peringkat tertinggi.
“Sekretariat SUKMA Selangor akan membawa isu kenaikan kos logistik, khususnya melibatkan bahan api ke mesyuarat jawatankuasa tertinggi SUKMA yang dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan Dr Mohamed Taufiq Johari dalam masa terdekat.
“Kita mengharapkan sokongan daripada negeri lain untuk meneruskan penganjuran SUKMA Selangor tanpa sebarang penangguhan,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, ketibaan Mohd Najwan bersama delegasi disambut EXCO Belia dan Sukan, Komuniti, Digital, Pengangkutan, Sains, Teknologi dan Inovasi Perlis, Wan Zikri Afthar Ishak.
Manakala di Kedah pula disambut Pengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan dan Kos Sara Hidup, Belia dan Sukan, Muhamad Radhi Mat Din.
Turut mengiringi Mohd Najwan, Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat SUKMA Dato’ Mohd Yazid Sairi dan Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Selangor Mohamad Nizam Marjugi.
SUKMA kali ke-22 dijadual berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos depan dengan upacara perasmian berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) manakala Para SUKMA pula dari 5 hingga 10 September.
Sebanyak 474 acara daripada 37 jenis sukan dipertandingkan di sembilan daerah membabitkan 52 venue pertandingan, manakala Para SUKMA membabitkan 10 jenis sukan dan 316 acara yang dipertandingkan di daerah Petaling dan Klang.


