SHAH ALAM, 11 MAC: Pelbagai program berasas perpaduan akan dijayakan di Selangor sepanjang tahun ini sebagai usaha mengukuhkan lagi keharmonian dan kesepakatan rakyat.
EXCO Perpaduan Datuk Rizam Ismail berkata kempen kesedaran bagi mencapai hasrat itu akan giat dilaksana melibatkan pelbagai pihak demi memastikan negeri sentiasa sejahtera.
“Selangor paksi negara dan memiliki pelbagai bangsa dan agama, sebab itu perlu ada keharmonian dan sikap toleransi antara kaum. Di peringkat negeri, kita akan sentiasa anjur program.

“Ia turut melibatkan kerjasama agensi persekutuan dengan terbaharu, kita adakan program memasak bubur lambuk di Gombak dengan penglibatan semua kaum,” katanya kepada Media Selangor.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Air Tawar menasihatkan rakyat tidak memainkan isu perkauman atau menimbulkan provokasi antara satu sama lain.
“Jika ada, buat aduan dan selesaikan ikut lunas undang-undang kerana kita ada perlembagaan. Gunakan saluran betul, bukan media sosial yang boleh mengundang keadaan tidak wajar,” katanya.
Minggu lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan badan penguat kuasa dan agensi keselamatan mengambil tindakan cepat, serta tanpa kompromi terhadap pihak yang cuba menghasut menggunakan isu perkauman atau agama.
The post Selangor paksi negara, anjur lebih banyak program libatkan semua kaum appeared first on Selangorkini.

