
SHAH ALAM, 10 OGOS: Kerajaan Negeri akan terus memantau situasi jerebu dari semasa ke semasa terutama di kawasan yang merekodkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata langkah sewajarnya akan diambil sekiranya bacaan IPU mencapai tahap berkenaan berdasarkan nasihat Jabatan Meteorologi dan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor.
"Kita akan semak apabila sampai kepada IPU tak sihat, kita akan ambil langkah-langkah sebagaimana yang dinasihatkan oleh meteorologi dan Jabatan Kesihatan.
"Kementerian Kesihatan merupakan entiti penting yang akan memberikan nasihat kalau IPU sudah cecah lebih 100, kita akan ambil tindakan seterusnya untuk tangani,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas pelancaran dan penyerahan tawaran Geran Penyelidikan dan Inovasi Negeri Selangor di Foyer Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.

Amirudin berkata keadaan jerebu sejak dua hingga tiga hari lalu dilihat agak buruk dari segi bacaan IPU, termasuk keadaan di Johan Setia.
“Di Johan Setia selain kedudukan lokasi dan sebagainya, ada mungkin pembakaran dan sebagainya tetapi di tempat lain dari dulu pun ada tempat itu. Tetapi situasinya tak seburuk masa kita terpaksa buat darurat jerebu... kita pantaulah kedudukan daripada Jabatan Alam Sekitar,” katanya.
Berhubung perancangan sekiranya IPU mencatat tahap tidak sihat sepanjang Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 berlangsung, Amirudin menjelaskan pihaknya perlu menunggu keadaan terkini terlebih dahulu.
"Kita tunggu IPU dulu, kalau tidak sihat tunggu kementerian. Perancangan tunggu IPU dahulu, tunggu jadi. Ini kalau tak jadi, mana boleh jadi bomoh pula esok jerebu kita batal...tak boleh," katanya.
Semalam, lapan kawasan di Sarawak dan satu di Selangor merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat 6 petang, menurut Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS).
Di Sarawak, tiga kawasan baharu iaitu Miri dengan bacaan IPU 119, Sarikei (152) dan Sri Aman (154) merekodkan tahap tidak sihat susulan jerebu rentas sempadan petang ini, menjadikan keseluruhan lapan kawasan berbanding lima pada sebelah pagi.
Lima kawasan yang merekodkan bacaan tidak sihat sebelum ini ialah Kuching dengan bacaan IPU 156, Samarahan (157), Serian (169), Bintulu (154) dan Samalaju (152).
Di Semenanjung, Johan Setia, Selangor menjadi satu-satunya kawasan berada pada tahap tidak sihat dengan bacaan IPU 153.





