
TAIPING – Orang ramai dinasihatkan mengurangkan aktiviti di luar rumah susulan keadaan jerebu yang mula melanda beberapa kawasan di Perak dengan satu bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencecah bacaan 153.
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Teh Kok Lim berkata, keadaan jerebu ketika ini bagaimanapun masih belum mencapai tahap membahayakan dan orang ramai perlu berwaspada.
“Buat masa ini, kita masih menunggu laporan lanjut. Bagaimanapun, saya menasihatkan orang awam supaya, kalau boleh, kurangkan keluar rumah dan kurangkan aktiviti di luar,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Pecah Tanah Sheng Long Aqua Technology (M) Sdn. Bhd. di Kamunting di sini hari ini.
Katanya, berdasarkan maklumat awal yang diterimanya, terdapat satu bacaan IPU di Perak mencecah 153, namun beliau belum menerima laporan lanjut mengenai lokasi tepat bacaan berkenaan.
Kok Lim berkata, selain Perak, Sabah dan Sarawak turut terjejas akibat jerebu, dengan keadaan di Sarawak dilihat lebih teruk.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri akan meneruskan pemantauan dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT), Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) serta agensi berkaitan.
“Pembakaran terbuka sudah lama dilarang, namun masih terdapat pihak yang mengambil kesempatan melakukannya ketika keadaan cuaca kering.
“Kita berharap masyarakat dapat bekerjasama kerana ini melibatkan kesihatan diri dan komuniti. Kita harus bekerjasama demi kepentingan semua pihak,” katanya.
Mengenai kemungkinan jerebu berpunca daripada kebakaran hutan di negara jiran, Kok Lim berkata, kerjasama dengan negara berkenaan sudah lama diwujudkan bagi memastikan langkah pencegahan dapat dilaksanakan.
Katanya, kerjasama berkenaan penting kerana isu kualiti alam sekitar tidak terhad kepada sempadan sesebuah negara, manakala berkaitan pelajar sekolah, beliau berkata keadaan ketika ini belum mencapai tahap yang memerlukan arahan khusus. – KOSMO! ONLINE
The post Jerebu: Bacaan IPU 153 di Perak, orang ramai diminta kurangkan aktiviti luar appeared first on Kosmo Digital.





![[VIDEO] ‘Kalau lori tu brek mengejut, boleh terus ke alam lain’](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/IMG-20260810-WA0010-1024x766.jpg)
