amree05/05/2026 - 16:00 Foto kredit Industrial Malaysia Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 5 Mei – Kerajaan Selangor berhasrat mempercepatkan kelulusan projek pembinaan kilang baharu kepada hanya 30 hari yang dilihat sebagai pemangkin baharu pelaburan di negeri berkenaan.
Jaminan tersebut ditegaskan Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han yang berkata, pihak berkuasa negeri akan berusaha mengurangkan kerenah birokrasi.
Langkah penambabaikan itu ujarnya, bagi memastikan kelulusan pembinaan kilang dapat diberikan dalam tempoh sebulan, berbanding sehingga enam bulan atau setahun yang pernah berlaku sebelum ini.
“Inisiatif ini memastikan pelabur boleh memulakan pembinaan dengan pantas, selagi projek itu berada dalam kawasan taman perindustrian bersesuaian,” jelasnya pada seminar anjuran Invest Selangor.
Selain itu kata Sze Han, negeri berkenaan turut memperkukuhkan lagi kedudukannya sebagai hab kepada sektor semikonduktor menerusi pembangunan taman reka bentuk litar bersepadu (IC) di Puchong.
Lokasi tersebut kini menempatkan 15 firma dengan kira-kira 302 jurutera, malah jumlah itu dijangka meningkat kepada 400 menjelang akhir 2026 melalui program latihan dan peningkatan kemahiran.
Selain itu, dalam usaha memastikan limpahan ekonomi kepada industri tempatan, kerajaan negeri turut menetapkan keperluan kandungan tempatan sebanyak 30% bagi semua pusat data (DC) baharu dibuka.
"Ia meliputi komponen, sistem pengekodan dan rak pelayan, bertujuan memastikan syarikat elektrik dan elektronik tempatan mendapat manfaat langsung daripada kemasukan pelaburan DC," kata Sze Han.
Pada masa sama tambah beliau, negara-negara ASEAN perlu memperkukuh kerjasama rantaian bekalan semikonduktor serantau bagi membentuk ekosistem yang lebih berdaya saing di peringkat global.
Selangor ujarnya turut akan terus memperkasakan sektor aeroangkasa melalui pembangunan Selangor AeroPark di Sepang, selaras dengan sasaran Pelan Induk Industri Aeroangkasa Malaysia 2030.
Langkah berkenaan jelas Sze Han, berupaya menjana pendapatan tahunan RM55.2 bilion serta mewujudkan lebih 32,000 pekerjaan tambahan yang berpendapatan tinggi. - DagangNews.com





