Perkasa infrastruktur di SJKT

1 Oct 2026 • 9:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Perkasa infrastruktur di SJKT

DALAM perbincangan mengenai pemerkasaan pendidikan negara, tumpuan lazimnya diberikan kepada pencapaian akademik, kualiti guru, kurikulum dan teknologi.

Namun, satu perkara asas tidak boleh dipinggirkan, iaitu persekitaran tempat pendidikan berlangsung.

Bilik darjah adalah ruang murid membina keyakinan, guru menyampaikan ilmu dan pengalaman pembelajaran terbentuk.

Justeru, pembangunan serta penyelenggaraan infrastruktur sekolah perlu dilihat sebagai pelaburan jangka panjang untuk masa depan anak-anak Malaysia.

Bagi sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT), keperluan setiap sekolah berbeza mengikut keadaan setempat.

Ada yang memerlukan tambahan bilik darjah, ruang Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), prasekolah dan teknologi maklumat (ICT), manakala sebahagian lagi memerlukan pembaikan asas atau pembangunan semula.

Atas sebab itu, keutamaan pembangunan infrastruktur perlu ditentukan berdasarkan kapasiti sedia ada, pertambahan murid, keadaan bangunan serta kemudahan sokongan yang diperlukan.

SJKT Sungai Bakap, Pulau Pinang, menjadi contoh. Selepas penantian panjang, pembangunan bangunan gantian sekolah itu akhirnya dimulakan dengan peruntukan RM12.6 juta. Projek berkenaan dijangka siap dalam tempoh 56 minggu.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek, ketika majlis penyerahan surat setuju terima (SST) dan pecah tanah projek pembinaan SJKT Sungai Bakap Ahad lalu, memberi jaminan tiada SJKT akan ditutup.

Sebaliknya, semua sekolah berkenaan akan terus diberi perhatian dari aspek pembangunan, penyelenggaraan serta program pengukuhan guru dan murid.

Namun, pengalaman Sungai Bakap turut memperlihatkan pembangunan infrastruktur pendidikan bukan proses mudah. Sejak 2015, sekolah berkenaan berdepan kekangan termasuk isu teknikal, status tanah, kewangan dan perundangan.

Penyelesaian perkara asas perlu dilakukan sebelum sesuatu projek dapat bergerak.

Peruntukan semata-mata tidak menjamin pembinaan dapat dilaksanakan. Isu tanah perlu diselesaikan, reka bentuk disediakan, kelulusan diperoleh dan proses perolehan dilaksanakan mengikut tatacara ditetapkan.

Kesemua peringkat ini memerlukan penyelarasan teliti antara pihak berkaitan.

Dalam konteks itu, peranan Yayasan Didik Negara (YDN) amat penting. YDN dimandatkan Kementerian Pendidikan untuk mengurus pelaksanaan peruntukan RM30 juta bagi pembangunan dan penambahbaikan beberapa SJKT di seluruh negara.

Yang lebih utama bukan sekadar jumlah dana tetapi bagaimana peruntukan tersebut diterjemahkan kepada kemudahan yang benar-benar diperlukan.

Setiap ringgit perlu memberi manfaat nyata dari segi keselamatan, keselesaan dan kualiti persekitaran pembelajaran.

Keperluan sekolah merangkumi tambahan bilik darjah, bengkel reka bentuk dan teknologi (RBT), pusat sumber, ruang Sains, PPKI, prasekolah, ICT, bilik guru serta bilik kesihatan.

Ini menunjukkan pembangunan sekolah tidak lagi boleh diukur berdasarkan jumlah bilik darjah semata-mata.

Tidak semua sekolah memerlukan bangunan baharu. Ada yang memerlukan penyelenggaraan kritikal, manakala yang lain perlu menambah ruang khusus susulan pertambahan murid atau keperluan pendidikan tertentu.

Pendekatan berdasarkan keperluan membolehkan penyelesaian diberikan secara lebih tepat.

Beberapa projek di bawah YDN kini bergerak daripada perancangan kepada pelaksanaan fizikal selepas proses pelantikan kontraktor diselesaikan.

Sebahagian lagi masih melalui proses tender atau menunggu penyelesaian isu tanah dan kelulusan berkaitan.

Kejayaan projek tidak seharusnya diukur berdasarkan bangunan siap semata-mata.

Ukuran lebih bermakna ialah manfaat selepas kemudahan digunakan: Adakah murid memperoleh ruang pembelajaran lebih baik, guru dapat melaksanakan tugas dengan berkesan dan sekolah mempunyai kapasiti yang lebih sesuai?

Usaha pembangunan SJKT di Pulau Pinang yang menyasarkan pembinaan tiga sekolah tahun ini turut menunjukkan pentingnya menyelesaikan isu asas seperti tanah, kelewatan kontraktor dan pertikaian perundangan agar pembangunan dapat bergerak lebih lancar.

Setiap ruang yang dibina membantu menyediakan persekitaran lebih baik untuk murid belajar, guru mengajar dan potensi anak-anak dikembangkan.

Apabila kita membina sekolah hari ini, kita bukan sekadar membina sebuah bangunan. Kita menyediakan ruang untuk anak-anak membina masa depan, sekali gus memperkukuh masa depan Malaysia. – UTUSAN

MOHD. NASRUL KHAIRI
Ketua Pegawai Eksekutif,
Yayasan Didik Negara

The post Perkasa infrastruktur di SJKT appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved