Selangor perkukuh kesiapsiagaan hadapi El Nino, jamin bekalan air

LocalEnvironment
13 Jun 2026 • 2:58 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Selangor perkukuh kesiapsiagaan hadapi El Nino, jamin bekalan air

KUALA LANGAT, 13 JUN: Selangor memperkukuh kesiapsiagaan bagi memastikan bekalan air kekal terjamin susulan fenomena El Nino yang diramal bermula bulan ini, dengan cuaca lebih kering dan taburan hujan berkurangan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata langkah siap siaga Kerajaan Negeri melalui Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan agensi terlibat termasuk melaksanakan kawalan pelepasan air empangan selaras Seksyen 41, Enakmen LUAS 1999.

Selain itu, pemantauan rapi harian paras dan kapasiti air empangan melalui Sistem Pengurusan Maklumat Sumber Air Bersepadu (IWRIMS) LUAS serta pembangunan dan pelaksanaan Selangor Off River Storage Scheme (SORSS) sebagai sumber air alternatif atau tambahan.

“Selain itu, Selangor turut mengoptimumkan penggunaan air bumi, melaksana Inisiatif Dasar Pelepasan Sifar (ZDP) bagi kawalan kualiti air dan mengekang pencemaran daripada punca.

“Turut dilaksana pperasi pemantauan dan mitigasi 24 jam Skuad Elit Air LUAS (SKEAL) serta Projek Skim Jaminan Air Mentah (SJAM),” katanya dalam teks ucapan yang dibacakan EXCO Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin pada majlis sambutan Hari Air Sedunia 2026 peringkat Selangor dan Hari Rendah Karbon di Pantai Kelanang, hari ini.

Amirudin berkata pentadbiran negeri akan memastikan kesediaan sumber air bukan sahaja daripada aspek kuantiti, malah kualitinya yang sentiasa perlu dipastikan pada tahap yang baik dan boleh diproses serta dibekalkan oleh loji rawatan air kepada rakyat.

Tambahnya, Kerajaan Negeri komited dalam memastikan kelestarian sumber air ini dengan meningkatkan langkah pencegahan terhadap permasalahan pencemaran yang memberi impak dan gangguan kepada operasi Loji Rawatan Air (LRA).

“Antara langkah pencegahan termasuk pemantauan bersasar di sungai-sungai negeri melalui inisiatif ‘River Monitoring Program’ bermula pada 2023 oleh LUAS untuk mengenal pasti ‘outfall’ aliran ke sungai daripada aktiviti kawasan pembangunan, komersial, industri dan persekitarannya supaya tindakan sewajarnya dapat diambil bersama agensi terlibat supaya kualiti air sungai dapat ditingkatkan.

“Selain itu ‘Selangor Earth Surface Activity Monitoring Systems (SESAMS)’ dibangunkan menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) antara LUAS dan Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) pada Ogos 2024 bagi pemantauan sumber air negeri menggunakan teknologi satelit bagi menambahbaik kaedah pemantauan menggunakan dron sebelum ini.

“Aplikasi ini menyokong operasi LUAS dan pemantauan sumber negeri khususnya dalam aspek pemantauan aktiviti penggunaan tanah terutama melibatkan aspek kawasan badan air dan mengenal pasti kawasan berpotensi menyumbang kepada pencemaran sumber air, keberkesanan penguatkuasaan dan menyokong proses membuat keputusan berasaskan data,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kesiapsiagaan di peringkat akar umbi dalam menghadapi fenomena El Nino perlu diperkukuh kerana langkah pencegahan dan persediaan awal adalah benteng terbaik dalam mengharungi kesan cuaca ekstrem yang semakin tidak menentu.

Menurut Anwar perkara itu dipersetujui oleh mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang pada 11 Jun yang meneliti pembentangan daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengenai fenomena El Nino serta implikasinya terhadap negara.