Selangor perkukuh pemantauan cegah kebakaran hutan hadapi El Nino

LocalEnvironment
13 Jun 2026 • 6:00 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Selangor perkukuh pemantauan cegah kebakaran hutan hadapi El Nino

KUALA LANGAT, 13 JUN: Kerajaan Negeri memperkukuh langkah pemantauan dan kesiapsiagaan bagi mencegah kebakaran hutan serta tanah gambut susulan fenomena El Nino yang dijangka menyebabkan cuaca lebih panas dan kering.

EXCO Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin berkata pemantauan berterusan dilaksanakan di pelbagai peringkat menerusi koordinasi beberapa agensi berkaitan bagi memastikan risiko kebakaran dapat ditangani lebih awal.

Menurut beliau, antara mekanisme yang digerakkan ialah Smart Selangor Operation Centre (SSOC) dan District Disaster Operation Centre (DDOC) yang dioperasikan Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor bersama semua pejabat daerah dan tanah.

“Unit Pengurusan Bencana melalui SSOC beroperasi memantau indikasi petunjuk cuaca serta menyelaras komunikasi dengan DDOC dan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Pusat dalam menangani kejadian bencana,” katanya.

Image from: Selangor perkukuh pemantauan cegah kebakaran hutan hadapi El Nino
EXCO Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin berucap ketika majlis Sambutan Hari Air Sedunia dan Hari Rendah Karbon di Pantai Kelanang, Kuala Langat pada 13 Jun 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Beliau ditemui selepas majlis sambutan Hari Air Sedunia 2026 peringkat Selangor dan Hari Rendah Karbon di Pantai Kelanang, hari ini.

Tambahnya, Jabatan Alam Sekitar Selangor dan pihak berkuasa tempatan (PBT) akan melaksanakan pemantauan dan penilaian risiko di tapak pelupusan sampah haram dan tanah gambut sebagai langkah pencegahan kebakaran.

“Sekiranya hutan simpan atau tanah gambut terbakar, Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor akan membiayai kos pengaktifan dan pengepaman telaga air bawah tanah di bawah seliaan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) bagi tujuan pembanjiran kawasan,” katanya.

Selain itu, Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) juga melaksana projek Sustainable Management of Peatland Ecosystems in Malaysia (SMPEM), bertujuan menguruskan tanah gambut secara mampan dan bersepadu.

“Operasi pencegahan kebakaran tanah gambut turut mendapat kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor dalam memastikan kebakaran tidak merebak dan kebakaran berskala besar tidak berlaku,” katanya.

Image from: Selangor perkukuh pemantauan cegah kebakaran hutan hadapi El Nino
EXCO Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin menyampaikan sijil penghargaan kepada MPKL ketika majlis Sambutan Hari Air Sedunia dan Hari Rendah Karbon di Pantai Kelanang, Kuala Langat pada 13 Jun 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kesiapsiagaan di peringkat akar umbi dalam menghadapi fenomena El Nino perlu diperkukuh kerana langkah pencegahan dan persediaan awal adalah benteng terbaik dalam mengharungi kesan cuaca ekstrem yang semakin tidak menentu.

Menurut Anwar perkara itu dipersetujui oleh mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang pada 11 Jun meneliti pembentangan daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengenai fenomena El Nino serta implikasinya terhadap negara.