Selangor pertingkat pemantauan benteng hadapi air pasang besar

LocalEnvironment
6 Nov 2026 • 11:31 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Selangor pertingkat pemantauan benteng hadapi air pasang besar

KLANG, 6 NOV: Kerajaan Negeri mempertingkat pemantauan benteng di sepanjang pesisir pantai Selangor bagi menghadapi risiko limpahan air laut dan benteng pecah susulan fenomena air pasang besar yang dijangka berlarutan hingga 11 November.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata, pemantauan tertumpu di kawasan berisiko termasuk Sabak Bernam, Kuala Selangor hingga Morib di Kuala Langat bagi memastikan benteng berada dalam keadaan baik.

“Kita sedang memastikan benteng berada dalam keadaan baik dan kini dalam tempoh berjaga-jaga bagi menghadapi fenomena air pasang besar.

“Kalau air pasang dan hujan berlaku serentak, risiko itu makin bertambah tinggi,” katanya selepas meninjau mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Masjid At-Taqwa, Kapar, malam ini.

Menurut beliau, paras air pasang esok dijangka mencecah antara 5.2 hingga 5.5 meter, sekali gus meningkatkan risiko limpahan air laut sekiranya benteng tidak dapat menampung kenaikan paras air.

Image from: Selangor pertingkat pemantauan benteng hadapi air pasang besar
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ditemui media di pusat pemindahan sementara (PPS) Masjid At-Taqwa, Bukit Kapar pada 6 November 2026. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR

Amirudin berkata, Jawatankuasa Pengurusan Bencana sudah bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan, termasuk risiko benteng pecah yang memerlukan pemindahan segera penduduk terjejas.

"Sekiranya benteng pecah, kita akan maklumkan penduduk supaya berpindah terlebih dahulu sebelum kerja pembaikan segera dilaksanakan.

"Proses pembaikan akan mengambil masa kerana air laut masih mengalir masuk. Selepas benteng dibaiki, air yang bertakung perlu dikeluarkan menggunakan pam," jelasnya.

Beliau menegaskan, keutamaan Kerajaan Negeri ketika ini adalah memastikan benteng berada dalam keadaan baik, selain meneruskan usaha pengukuhan struktur berkenaan yang dilaksanakan setiap tahun.

Terdahulu, Amirudin turut meninjau keadaan mangsa banjir di PPS Masjid At-Taqwa yang menempatkan penduduk terjejas dari kawasan Kampung Bukit Kapar.

Menurutnya, jumlah keluarga yang berlindung di PPS berkenaan berkurangan daripada kira-kira 30 semalam kepada 19 hari ini, dengan sebahagian mangsa sudah pulang untuk membersihkan kediaman masing-masing.

"Insya-Allah, jika tidak hujan, mereka boleh pulang ke rumah masing-masing esok," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved