
Penduduk di sekitar Daerah Klang diminta untuk berjaga-jaga dengan fenomena air pasang besar yang dijangka berlaku selama lima hari berturut-turut.
Menurut poster yang dimuat naik melalui hebahan oleh Pejabat Daerah & Tanah Klang, fenomena berkenaan dijangka berlaku bermula 7 November ini sehingga 11 November depan
Berdasarkan ramalan bacaan paras laut tertinggi yang dibuat, Pusat Operasi Bencana Daerah Klang berkata aras laut dijangka boleh mencapai ketinggian 5.2 meter.
Paras laut diramal mencecah 5.1 meter pada pukul 4.23 pagi pada Sabtu, sebelum dijangka meningkat kepada 5.2 meter pada pukul 5.02 pagi pada Ahad.
Seterusnya, paras laut dijangka mencapai bacaan 5.1 meter pada pukul 5.37 pagi pada 9 November dan 6.08 minit pada 10 November.

Pada 11 November, bacaan paras laut diramal mencapai 5 meter pada pukul 6.37 pagi pada 11 November.
Manakala bacaan paras laut pada waktu petang pula dijangka berada pada ketinggian antara 4.5 hingga 4.8 meter, dengan waktu bacaan adalah antara pukul 4.53 hingga 7.02 petang.
Bagi ramalan cuaca tempatan pula, hebahan itu menyatakan fenomena ribut petir dijangka berlaku pada waktu petang di beberapa tempat pada 7-8 November dan di kebanyakan tempat pada 9-11 November.
Sementara fenomena hujan lebat pula diramal berlaku di beberapa tempat di Klang pada 7-8 November dan di kebanyakan tempat untuk tiga hari berikutnya.
Manakala tiada fenomena hujan dijangka berlaku di sebelah pagi bagi tempoh lima hari tersebut.
Orang ramai yang berdepan dengan situasi cemas melibatkan cuaca boleh menghubungi Talian Kecemasan Negara di 999 atau Pusat Operasi Bencana Daerah Klang di 03-33829292.





