
SHAH ALAM, 13 NOV: Kerajaan Negeri memperuntukkan RM500,000 tahun depan bagi membangunkan Pusat Penjagaan Selangor berasaskan model ‘Care Block’ atau Blok Penjagaan.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, pusat berkenaan akan menghimpunkan pelbagai kemudahan dan perkhidmatan penjagaan dalam satu lokasi bagi memudahkan akses kepada masyarakat, khususnya warga emas dan keluarga mereka.
"Model ini akan memperluaskan pendekatan penjagaan bersepadu dengan menghimpunkan kemudahan dan perkhidmatan berkaitan penjagaan dalam satu ekosistem yang lebih tersusun dan mudah diakses oleh masyarakat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2027 pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Menurut Amirudin, pusat berkenaan bukan sahaja memberi tumpuan kepada individu yang memerlukan penjagaan, malah menyediakan sokongan kepada keluarga dan penjaga.
Beliau berkata, kemudahan itu merangkumi perkhidmatan penjagaan sementara, aktiviti kesejahteraan serta akses kepada bantuan dan perkhidmatan berkaitan penjagaan.
"Pada tahun ini, Kerajaan Negeri memulakan inisiatif Respite Care & Wellness Hub dengan memanfaatkan serta menambah baik fasiliti sedia ada sebagai ruang penjagaan sementara.
"Inisiatif itu membolehkan penjaga berehat atau menguruskan urusan peribadi dan kerjaya sementara ahli keluarga di bawah jagaan mereka ditempatkan dalam persekitaran yang selamat dan sesuai," katanya.
Belanjawan Selangor 2027 bertemakan ‘Selangor Negeri Progresif, Institusi Dijunjung, Rakyat Disantuni’ memperuntukkan RM3.3 bilion, merangkumi RM1.9 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan RM1.4 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.




