Asian Pac, Tanah Makmur bangunkan pusat beli-belah pertama bernilai RM281 juta di KotaSAS Pahang

28 Oct 2026 • 4:52 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Asian Pac, Tanah Makmur bangunkan pusat beli-belah pertama bernilai RM281 juta di KotaSAS Pahang Image from: Asian Pac, Tanah Makmur bangunkan pusat beli-belah pertama bernilai RM281 juta di KotaSAS Pahang liza28/10/2026 - 16:52 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 28 Okt – Asian Pac Holdings Bhd merancang untuk membangunkan pusat beli-belah pertama di KotaSAS dekat Kuantan, Pahang menerusi projek pembangunan runcit dan gaya hidup bernilai RM281.3 juta.

 

Projek berkenaan turut merangkumi kawasan deretan kedai komersial berkonsepkan gaya hidup dan dijangka mencatatkan nilai pembangunan kasar (GDV) sehingga RM2 bilion pada masa hadapan.

 

Pembangunan itu dilaksanakan menerusi anak syarikat Asian Pac, Everest Pioneer Sdn Bhd dengan kerjasama KotaSAS Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Tanah Makmur Bhd.

 

Terletak di kawasan pusat perniagaan KotaSAS, projek itu berada dalam jarak berjalan kaki dari stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang menyokong perancangan pembangunan berorientasikan transit di bandar berkenaan.

 

Gabungkan perniagaan, rekreasi dan komuniti

Pengarah Eksekutif Asian Pac, Michael Mah berkata projek itu bertujuan mewujudkan sebuah destinasi yang menggabungkan aktiviti komersial, penglibatan komuniti dan peluang perniagaan.

 

Beliau berkata, pengalaman syarikat selama sedekad mengendalikan Imago Shopping Mall di Kota Kinabalu akan membantu usaha membangunkan destinasi runcit yang dapat menyumbang kepada pembangunan bandar Kuantan.

 

"Kami melihat peluang untuk membina berdasarkan asas itu dan mewujudkan sebuah destinasi yang menjadi tempat orang ramai berkumpul, perniagaan berkembang dan komuniti menikmati pengalaman baharu," katanya dalam satu kenyataan.

 

Kawasan pembangunan itu akan merangkumi ruang peruncitan, makanan dan minuman, rekreasi serta komersial, dengan susun atur mesra pejalan kaki yang menghubungkan pusat beli-belah, deretan kedai dan kawasan kejiranan di sekitarnya.

 

ECRL sokong pertumbuhan KotaSAS

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tanah Makmur, Datuk Shahrul Nizam Abdul Aziz berkata projek itu akan menyokong fasa pertumbuhan seterusnya KotaSAS sebagai Bandar Baru Kuantan.

 

Menurutnya, kedudukan pembangunan yang berhampiran stesen ECRL membuka peluang untuk menterjemahkan peningkatan hubungan pengangkutan serantau kepada manfaat ekonomi bagi perniagaan dan penduduk setempat.

 

Beliau berkata, pembangunan itu juga dijangka menarik penyertaan jenama dari peringkat serantau dan nasional, meluaskan peluang kepada perniagaan tempatan serta meningkatkan daya tarikan komersial KotaSAS.

 

ECRL disasarkan memulakan operasi komersial pada Disember 2026 yang akan meningkatkan hubungan pengangkutan antara Lembah Klang dengan destinasi di Pantai Timur.

 

KotaSAS meliputi kawasan kira-kira 876.14 hektar dan mempunyai lebih 21,000 penduduk. Kawasan itu turut menempatkan Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah, iaitu pusat pentadbiran kerajaan negeri Pahang. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved