
SHAH ALAM: Selangor memperkukuh kedudukan agama Islam dengan menetapkan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) sebagai pegangan dan fahaman yang menjadi asas rujukan dan pentadbiran hal ehwal Islam di negeri ini.
Pengukuhan tersebut dibuat melalui pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor (UUTKS) (Pindaan) 2026 berkaitan Peruntukan Agama Negeri dan Penubuhan Mahkamah Syariah.
Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi, Dr. Mohammad Fahmi Ngah yang membentangkan RUU tersebut berkata, ia bertujuan menyelaraskan rujukan pegangan dan fahaman ASWJ dalam pentadbiran hal ehwal Islam di negeri ini.
“Ketiadaan penjelasan tersebut boleh menyebabkan wujudnya perbezaan pendekatan dalam pentadbiran hal ehwal Islam termasuk dalam aspek pengeluaran fatwa, pengurusan tauliah mengajar agama Islam, penyediaan dasar agama serta pelaksanaan program dan urusan berkaitan Islam.
“Sekiranya tiada asas rujukan yang jelas, keadaan itu berpotensi menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat serta cabaran kepada institusi agama negeri dalam memastikan setiap keputusan dan tindakan pentadbiran Islam dibuat secara seragam dan konsisten,” katanya pada pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Ke-15 di sini, hari ini.
Jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia itu, dalam konteks negeri ini, Sultan Selangor sebagai ketua agama Islam mempunyai kedudukan dan kuasa dalam perkara berkaitan hal ehwal Islam seperti diperuntukkan dalam UUTKS.
“Dengan adanya peruntukan itu dalam UUTKS, sebagai undang-undang utama negeri, kedudukan agama Islam di Selangor akan diperkukuhkan melalui asas rujukan yang jelas dari sudut perundangan, pentadbiran dan pelaksanaan dasar Islam,” ujarnya.
Mohammad Fahmi berkata, Mahkamah Utama Syariah turut ditubuhkan dan menjadi sebahagian daripada pindaan enakmen berkenaan yang bertujuan memperkemas struktur dan hierarki Mahkamah Syariah.
“Ia tidak bertujuan mewujudkan persaingan atau pertindihan dengan Mahkamah Sivil. Kedua-dua sistem kehakiman mempunyai bidang kuasa masing-masing sebagaimana yang ditetapkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Sebaliknya cadangan memasukkan peruntukan kehakiman Syariah dalam UUTKS adalah untuk memperkukuhkan kedudukan institusi tersebut melalui pengiktirafan pada peringkat undang-undang tertinggi negeri,” jelasnya. – UTUSAN
The post Selangor pinda enakmen perkukuh kedudukan Islam appeared first on Utusan Malaysia.

