SHAH ALAM – Cadangan penubuhan Mahkamah Utama Syariah di Selangor bukan bertujuan memperluaskan bidang kuasa Mahkamah Syariah melebihi had ditetapkan Perlembagaan Persekutuan.
Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Mohammad Fahmi Ngah berkata, langkah itu sebaliknya bertujuan memperkemaskan struktur serta hierarki Mahkamah Syariah negeri supaya sistem kehakiman itu lebih tersusun.
Menurutnya, penubuhan Mahkamah Utama Syariah akan menyediakan ruang penelitian kehakiman lebih menyeluruh khususnya bagi kes membabitkan persoalan hukum syarak, kepentingan awam dan isu perundangan kompleks.
"Kerajaan negeri menegaskan cadangan penubuhan Mahkamah Utama Syariah bukan bertujuan mewujudkan persaingan atau pertindihan dengan Mahkamah Sivil.
"Kedua-dua sistem kehakiman mempunyai bidang kuasa masing-masing sebagaimana ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Rang Undang-Undang Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor (Pindaan) 2026 berkaitan peruntukan agama negeri dan penubuhan Mahkamah Syariah semasa sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Isnin.
Mohammad Fahmi berkata, pindaan itu juga tidak bertujuan memberikan campur tangan baharu kepada pihak eksekutif terhadap institusi kehakiman Syariah.
Sebaliknya, katanya, cadangan memasukkan peruntukan kehakiman Syariah dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor (UUTKS) adalah bagi memperkukuhkan kedudukan institusi itu melalui pengiktirafan pada peringkat undang-undang tertinggi negeri.
"Peruntukan berkaitan pelantikan hakim syarie, sumpah jawatan, kuasa menghukum kerana penghinaan kepada mahkamah serta perlindungan terhadap fungsi kehakiman menunjukkan komitmen kerajaan negeri untuk memperkukuhkan prinsip kebebasan, integriti dan kewibawaan institusi kehakiman Syariah," jelas beliau.
Mengulas lanjut, katanya, cadangan pindaan itu telah melalui proses penelitian dan libat urus panjang membabitkan pelbagai pihak berkepentingan termasuk institusi agama Islam negeri, institusi kehakiman Syariah, pihak berkuasa undang-undang, ahli akademik serta agensi berkaitan.
Katanya, pindaan itu bukan dibuat secara tergesa-gesa, sebaliknya hasil penelitian menyeluruh bagi memastikan setiap perubahan mempunyai asas perundangan kukuh serta mengambil kira kepentingan masyarakat Islam di Selangor.
Beliau berkata, pindaan berkaitan kedudukan agama Islam negeri Selangor mengikut pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah pula akan memberikan kejelasan dari sudut perundangan terhadap asas pegangan yang diamalkan sejak sekian lama.
"Pengukuhan institusi agama Islam dan kehakiman Syariah penting bagi memastikan pentadbiran agama Islam dapat dilaksanakan secara teratur, konsisten dan memenuhi tuntutan semasa," ujarnya.
Menurut beliau, dengan pindaan itu, kedudukan agama Islam dan institusi kehakiman Syariah di Selangor akan mempunyai asas perundangan lebih kukuh bagi menghadapi cabaran semasa serta memastikan kepentingan umat Islam terus dipelihara.
"Pindaan ini mencerminkan komitmen kerajaan negeri memastikan sistem perundangan dan institusi Islam di Selangor terus diperkasakan berdasarkan prinsip keadilan, integriti, tadbir urus baik serta selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan UUTKS," tambah beliau.



