Selangor rancang tambah Pusat YANIS, perluas ke daerah lain

LocalFamily & Parenting
13 Jun 2026 • 9:30 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Selangor rancang tambah Pusat YANIS, perluas ke daerah lain

SHAH ALAM, 13 JUN: Kerajaan Negeri bercadang menambah Pusat Yayasan Insan Istimewa Selangor (Pusat YANIS) di seluruh Selangor berikutan terdapat permintaan tinggi.

EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berkata usaha memperluas perkhidmatan itu sekali gus memastikan lebih ramai golongan orang kurang upaya menerima manfaat.

Menurut beliau, setakat ini, pusat YANIS ataupun pusat sebelum ini dikenali sebagai Pusat Anak Istimewa Selangor dan kini diperluas di bawah YANIS terdapat di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC).

“Kita akan teruskan di IDCC, ada program prasekolah namun antara perbincangan awal adalah di daerah lain bukan hanya tertumpu di kawasan bandar atau pun di pusat pentadbiran kerajaan negeri Selangor sahaja.

“Jadi dengan ada kerjasama sama ada modelnya oleh pertubuhan bukan kerajaan ataupun Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), kita mahu luaskan capaian kerana terdapat permintaan ada yang datang jauh dari Banting, Bangi untuk datang mendapatkan akses ataupun bantuan intervensi.

Image from: Selangor rancang tambah Pusat YANIS, perluas ke daerah lain
EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berucap dalam Program Advokasi Penjagaan Orang Kurang Upaya (Autisme) peringkat Selangor di Hospital Al-Sultan Abdullah, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam pada 13 Jun 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

“Untuk rekod, di Selangor lebih 20,000 berdaftar sebagai autisme dan percaya ada lagi 'under reporting' sebab masih belum didaftarkan lagi kerana perlu melalui saringan dan mendapat diagnosis,” katanya hari ini.

Terdahulu, beliau merasmikan Program Advokasi Penjagaan Orang Kurang Upaya (Autisme) peringkat Selangor di Hospital Al-Sultan Abdullah, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam.

Turut hadir, Pengerusi Majlis Tindakan Orang Kelainan Upaya Selangor (MTOS) Danial Al-Rashid Haron dan Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat Datuk Che Murad Sayang Ramjan.

Dalam pada itu, Anfaal memaklumkan Selangor juga bercadang untuk meneruskan pembelajaran menggunakan Modul Ibu Bapa Anak Istimewa (MANIS) secara dalam talian.

“Kita bercadang modul ini bukan sahaja dibaca oleh ibu bapa dan guru tetapi dilakukan secara atas talian… mungkin video dan juga disokong modul MANJA untuk anak autisme juga.

“Jadi dengan pelbagai modul, saya kira bukan sahaja kita meraikan banyak pihak membantu tetapi dengan bantuan sedia ada ramai lagi ibu bapa tercari-cari untuk bantu penjagaan anak mereka,” katanya.

Image from: Selangor rancang tambah Pusat YANIS, perluas ke daerah lain
EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari menyampaikan kad OKU kepada penerima dalam Program Advokasi Penjagaan Orang Kurang Upaya (Autisme) peringkat Selangor di Hospital Al-Sultan Abdullah, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam pada 13 Jun 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

November tahun lalu, dua modul komprehensif khusus untuk anak-anak istimewa dilancar sebagai usaha memperkukuh pendidikan, sokongan keluarga dan ekosistem intervensi awal di negeri ini.

Modul berkenaan merangkumi Modul Panduan Intervensi dalam Mendidik Kanak-Kanak Berkeperluan Khas serta MANIS.

Kedua-dua modul itu berfungsi sebagai panduan menyeluruh kepada pendidik dan ibu bapa dalam menguruskan anak berkeperluan khas, khususnya yang mengalami masalah pembelajaran.

Modul berkenaan dibangunkan oleh YANIS dengan kerjasama pakar dari UiTM dan Permata Kurnia.

Sementara itu, Muhammad Fahmi Bukari,36, yang merupakan austisme tahap satu berkata program advokasi amat membantu masyarakat lebih ramai pihak mendapat pengetahuan dan memahami golongan itu.

Image from: Selangor rancang tambah Pusat YANIS, perluas ke daerah lain
Muhammad Fahmi Bukari,36, ditemui dalam Program Advokasi Penjagaan Orang Kurang Upaya (Autisme) peringkat Selangor di Hospital Al-Sultan Abdullah, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam pada 13 Jun 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

“Ini bukan sahaja wadah berkesan dan penting kepada pelbagai pihak. Ia bukan sahaja penting kepada ibu bapa, pendidik tetapi untuk individu autisme itu sendiri… ia memerlukan sokongan dan bantuan sepanjang hayat.

“Ibu bapa jangan berasa sendirian, cari sokongan bersama orang lain dan pengasuh. Untuk membolehkan individu autisme bekerja perlu tahu pasaran kerja semasa dan saya rasa kecerdasan buatan (AI) amat sesuai,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved