Selangor robohkan 72 kilang haram di atas tanah kerajaan sejak Januari 2026

LocalPolitics
4 Aug 2026 • 2:25 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Selangor robohkan 72 kilang haram di atas tanah kerajaan sejak Januari 2026 Image from: Selangor robohkan 72 kilang haram di atas tanah kerajaan sejak Januari 2026 liza04/08/2026 - 14:25 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 4 Ogos – Sebanyak 72 kilang yang beroperasi secara haram di atas tanah kerajaan di Selangor telah dirobohkan sejak Januari lalu menerusi operasi penguatkuasaan bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Pejabat Tanah dan Daerah (PDT).

 

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Datuk Ng Suee Lim berkata daripada jumlah itu, sebanyak 53 kilang dirobohkan menerusi dua operasi melibatkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan PDT Petaling.

 

Menurut beliau, baki 19 kilang lagi dirobohkan dalam satu operasi yang dijalankan bersama Majlis Bandaraya Diraja Klang dan PDT Klang.

 

“Semua tindakan itu hanya dibuat selepas proses pemberitahuan kepada pihak terbabit, semakan status tanah serta penyelarasan antara agensi berkaitan diselesaikan mengikut prosedur yang ditetapkan,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Rajiv Rishyakaran (PH-Bukit Gasing) mengenai isu kilang haram dan pembangunan tanah yang tidak terancang pada Persidangan Dewan Negeri Selangor di Shah Alam.

 

Pemilik Diberi Peluang Sebelum Tindakan Diambil

Ng berkata, tindakan penguatkuasaan tidak dilakukan serta-merta kerana pemilik tanah terlebih dahulu diberikan ruang untuk mematuhi syarat yang ditetapkan di bawah Kanun Tanah Negara.

 

Menurut beliau, proses itu bermula dengan menyerahkan Notis 7A di bawah Seksyen 128 Kanun Tanah Negara kepada pemilik yang didapati melanggar syarat hak milik tanah.

 

“Notis tersebut memberi peluang kepada pemilik membetulkan pelanggaran yang berlaku dalam tempoh yang ditetapkan sebelum tindakan lanjut diambil.

 

“Selepas itu, Pejabat Tanah dan Daerah turut mengeluarkan sebanyak 11 Notis 7B melibatkan lima hak milik tanah bagi memberi peluang kepada pemilik atau pihak berkepentingan mengemukakan alasan mengapa tanah berkenaan tidak sepatutnya dirampas.

 

“Selepas semua proses itu selesai, baru lah tindakan merobohkan kilang yang didirikan secara haram dilaksanakan oleh pihak berkuasa.” katanya.

 

Pencerobohan Tanah Jejas Hasil Dan Perancangan Negeri

Dalam masa sama, Ng mengakui tindakan merobohkan kilang haram memberi kesan kepada pemilik bangunan, usahawan dan pekerja kerana mereka perlu berpindah ke premis yang sah selain berdepan kemungkinan kehilangan sumber pendapatan.

 

Bagaimanapun, beliau menegaskan kesan itu perlu dilihat bersama implikasi yang ditanggung kerajaan negeri dan masyarakat akibat pencerobohan serta penggunaan tanah tanpa kebenaran.

 

“Penggunaan tanah secara haram menyebabkan kerajaan kehilangan hasil yang sepatutnya diperoleh menerusi premium tanah, cukai tanah, fi pembangunan, lesen dan bayaran berkaitan.

 

“Operasi kilang tanpa kelulusan juga boleh menimbulkan pelbagai masalah termasuk risiko terhadap keselamatan struktur bangunan, kebakaran, pencemaran alam sekitar, kesesakan lalu lintas serta gangguan kepada kawasan perumahan selain pembangunan yang tidak menepati perancangan PBT.

 

“Kawasan yang kosong selepas dirobohkan boleh dirancang semula mengikut kesesuaian guna tanah, keperluan infrastruktur, akses jalan raya, aspek keselamatan, alam sekitar dan potensi ekonomi,” katanya. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved