Delivery Hero pilih Malaysia sebagai hab operasi serantau dengan pelaburan lebih RM20 juta

LocalBusiness & Finance
4 Aug 2026 • 5:22 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Delivery Hero pilih Malaysia sebagai hab operasi serantau dengan pelaburan lebih RM20 juta Image from: Delivery Hero pilih Malaysia sebagai hab operasi serantau dengan pelaburan lebih RM20 juta liza04/08/2026 - 17:22 MYSSC menguruskan pelbagai fungsi penting di belakang tabir seperti perkhidmatan pelanggan, teknologi, kewangan, pengurusan tenaga kerja serta penambahbaikan proses operasi Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 4 Ogos – Delivery Hero melabur lebih RM20 juta untuk memperluaskan operasi Pusat Perkhidmatan Bersama Malaysia (Malaysia Shared Service Centre – MYSSC) yang akan mengukuhkan lagi peranan negara sebagai hab operasi serantau syarikat itu.

 

Pelaburan itu melibatkan perpindahan MYSSC ke pejabat baharu seluas 38,000 kaki persegi di Menara Multi-Purpose, Kuala Lumpur yang direka untuk menyokong pertumbuhan operasi syarikat pada masa hadapan.

 

MYSSC berfungsi sebagai pusat operasi yang menyokong perniagaan Delivery Hero di 16 pasaran merangkumi Asia Pasifik, Turkiye dan Eropah, selain membantu operasi foodpanda Malaysia.

 

Berbeza dengan operasi penghantaran makanan yang dikendalikan foodpanda Malaysia, MYSSC menguruskan pelbagai fungsi penting di belakang tabir seperti perkhidmatan pelanggan, teknologi, kewangan, pengurusan tenaga kerja serta penambahbaikan proses operasi.

 

Delivery Hero berkata, pelaburan itu mencerminkan keyakinannya terhadap Malaysia sebagai lokasi strategik yang memiliki tenaga kerja berkemahiran tinggi, menguasai pelbagai bahasa serta disokong ekosistem digital yang kukuh.

 

Lebih Banyak Peluang Untuk Bakat Tempatan

Ketua Pegawai Eksekutif foodpanda, foodora dan Yemeksepeti, Tareq Barto berkata, Malaysia kini memainkan peranan yang semakin penting dalam menyokong operasi Delivery Hero di peringkat serantau.

 

Menurut beliau, kelebihan tenaga kerja tempatan membolehkan syarikat menyokong pelbagai pasaran dari satu lokasi untuk meningkatkan kecekapan operasi di seluruh rantau.

 

“Pelaburan tersebut turut membuka lebih banyak peluang kepada rakyat Malaysia untuk mengisi jawatan berkemahiran tinggi yang menawarkan pendedahan di peringkat serantau dan antarabangsa.

 

t

 

“Seiring perkembangan MYSSC, Delivery Hero menyasarkan kira-kira 80 peratus tenaga kerja kami di pusat operasi itu terdiri daripada rakyat Malaysia menjelang 2027,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Beliau berkata, langkah itu mencerminkan komitmen jangka panjang syarikat dalam membangunkan bakat tempatan bagi menggalas peranan bernilai tinggi yang menyokong operasi global Delivery Hero.

 

Manfaatkan AI Untuk Kecekapan Operasi

Dalam pada itu, Delivery Hero turut memperluaskan penggunaan kecerdasan buatan (AI) untuk mengautomasikan tugasan rutin bagi meningkatkan produktiviti operasi.

 

Menurut syarikat itu, penggunaan AI membolehkan pekerja memberi tumpuan kepada tugasan yang lebih kompleks, sekali gus membantu menyelesaikan cabaran perniagaan dengan lebih berkesan.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan foodpanda Malaysia, Kenneth Soh berkata, penempatan MYSSC di Malaysia membolehkan pasukan syarikat bertindak lebih pantas, bekerjasama dengan lebih berkesan dan terus menambah baik pengalaman pelanggan.

 

Beliau berkata, penggunaan teknologi baharu serta pembangunan kemahiran pekerja akan membantu Delivery Hero memperkukuh keupayaan operasinya sejajar dengan perkembangan perniagaan di peringkat serantau.

 

Katanya, secara keseluruhannya, pelaburan tersebut bertujuan meningkatkan kecekapan operasi dan memberikan pengalaman yang lebih baik kepada pengguna, rakan niaga serta rakan penghantar di semua pasaran yang disokong oleh Delivery Hero.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved