
SHAH ALAM, 13 NOV: Laluan pejalan kaki baharu sepanjang 35 kilometer (km) akan ditambah di seluruh negeri ini demi memudahkan akses rakyat dengan pusat-pusat utama termasuk stesen pengangkutan awam.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata keputusan itu dibuat berdasarkan pandangan dikemukakan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pakar dari luar negara yang merasakan perlunya laluan pejalan kaki yang selamat dan selesa.
“Kita turut menyedari sistem pengangkutan awam yang efektif dan mesra pengguna bukan hanya setakat bas atau gerabak keretapi. Antara komponen penting yang menjadi kayu ukur kecemerlangan sistem ini adalah keselesaan laluan pejalan kaki yang menghubungkan rakyat kepada stesen keretapi atau bas.
“Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri menerusi pihak berkuasa tempatan (PBT) akan menambah laluan pejalan kaki baharu sepanjang 35 km di seluruh Selangor supaya memudahkan akses rakyat kepada pusat-pusat utama termasuk stesen pengangkutan awam,” katanya membentang Belanjawan Selangor 2027 hari ini.
Mengulas lanjut, Amirudin berkata audit pejalan kaki akan dilengkapkan sebelum akhir tahun ini dan ia menjadi rujukan untuk menyelesaikan isu laluan pejalan kaki sekali gus mampu mengutamakan keselesaan pengguna.
“Saya tertarik dengan kompilasi video Audit Pejalan Kaki dilaksanakan Ng Sze Han (EXCO Mobiliti) dan menyarankan agar Ahli Dewan Negeri serta Ahli Majlis turut sama melaksanakan program ini bagi membantu memberi maklum balas yang berkesan kepada PBT,” katanya.
Pada Jun lalu, Sze Han mengarahkan semua PBT di Selangor mengutamakan pembinaan laluan pejalan kaki yang menghubungkan kawasan sekitar dengan stesen pengangkutan awam.
Langkah itu bertujuan meningkatkan keselamatan dan keselesaan pengguna, selain mengatasi masalah laluan pejalan kaki yang tidak bersambung sehingga menyukarkan orang ramai mengakses pengangkutan awam.




