Selangor Techsphere Summit perkukuh bakat, tarik pelaburan bernilai tinggi

LocalTechnology
17 Oct 2026 • 9:00 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Selangor Techsphere Summit perkukuh bakat, tarik pelaburan bernilai tinggi

KUALA LUMPUR, 17 OKT: Selangor Techsphere Summit (STS) 2026 menjadi platform penting dalam menghubungkan pembangunan tenaga mahir dengan keperluan teknologi dan industri bagi menyokong kemasukan pelaburan bernilai tinggi ke Selangor.

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pembangunan Kemahiran dan Teknikal Selangor (STDC) Dr Harizal Hamid berkata program sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2026 itu turut membuka ruang kerjasama antara Kerajaan Negeri, institusi pendidikan dan pemain industri.

Menurutnya, pembangunan bakat perlu bergerak seiring kemajuan teknologi bagi memastikan Selangor memiliki tenaga kerja berkemahiran tinggi yang mampu memenuhi keperluan industri seterusnya menyokong kemasukan pelaburan bernilai tinggi.

"Techsphere Summit merupakan segmen yang kita hadirkan dalam SIBS untuk menunjukkan bagaimana inisiatif pembangunan bakat berkait rapat dengan adaptasi teknologi.

Image from: Selangor Techsphere Summit perkukuh bakat, tarik pelaburan bernilai tinggi
Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pembangunan Kemahiran dan Teknikal Selangor (STDC) Dr Harizal Hamid ditemui ketika majlis penutup Selangor Techsphere Summit (STS) 2026 sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Selangor (SIBS) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 17 Oktober 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIA SELANGOR

"Pembangunan bakat itu sendiri sebenarnya boleh menyumbang kepada komponen pelaburan secara keseluruhan," katanya kepada Media Selangor selepas Majlis Penutupan Selangor Techsphere Summit 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.

Dalam pada itu, Dr Harizal berkata penyertaan industri dalam penganjuran kali ini turut meningkat kepada 34 pempamer berbanding 21 tahun lalu.

Katanya, pameran kali ini mengetengahkan pelbagai bidang teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI), semikonduktor, mikropengawal, teknologi hijau dan pembangunan bakat.

"Pada tahun ini, kita melihat bagaimana kecerdasan buatan semakin mendominasi pelbagai sektor industri.

"Dalam industri robotik misalnya, kita dapat melihat penggunaan AI secara komprehensif, manakala industri pengurusan pergudangan juga semakin bergerak ke arah penggunaan teknologi digital berasaskan data," jelasnya.

Tambahnya, perkembangan itu menuntut golongan muda menguasai kemahiran digital bagi memastikan mereka mampu memenuhi keperluan industri yang semakin berkembang.

Mengulas perancangan tahun depan, Dr Harizal berharap penyertaan pemain industri dalam Selangor Techsphere Summit terus meningkat, selain memperluas penglibatan sektor teknologi termasuk ekonomi hijau.

Image from: Selangor Techsphere Summit perkukuh bakat, tarik pelaburan bernilai tinggi
Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari ketika hadir melawat tapak pameran di Selangor Techsphere Summit sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Selangor (SIBS) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 17 Oktober 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIA SELANGOR

Beliau berkata kerjasama antara Kerajaan Negeri, institusi pendidikan dan industri juga perlu dipertingkat bagi memastikan pembangunan bakat terus seiring perkembangan teknologi serta ekonomi Selangor.

"Kita berharap Techsphere menjadi landasan kepada Kerajaan Negeri, institusi pendidikan dan industri untuk menjalin hubungan kerjasama berdasarkan kekuatan masing-masing.

"Dengan kerjasama ini, kita dapat membentuk satu ekosistem yang jelas dalam pembangunan teknologi dan bakat," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved