Selangor teliti amalan terbaik pengurusan banjir DBKL

LocalPolitics
12 Nov 2026 • 6:40 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

NKVE banjir

PETALING JAYA: Selangor akan meneliti amalan terbaik sistem pengurusan banjir daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebagai satu daripada empat tindakan utama menangani masalah bencana di negeri tersebut.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shaari berkata, perkara itu antara yang dibincangkan dalam Mesyuarat Khas Penyelarasan Bencana Banjir Negeri Selangor yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Bangunan Parlimen, hari ini.

Katanya, mesyuarat turut dihadiri oleh wakil kerajaan negeri, EXCO, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Pegawai Darah serta agensi berkaitan termasuk Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Perhatian khusus diberikan kepada kawasan yang sering dilanda banjir, terutama di Daerah Petaling dan Kuala Selangor yang merekodkan 1,180 mangsa di tujuh Pusat Pemindahan Sementara (PPS) setakat 12 November ini.

“Empat tindakan utama diberi penekanan, iaitu memperkukuh sistem amaran awal bersama MET Malaysia, meningkatkan penyelarasan pengurusan bencana oleh Jawatankuasa Bencana Negeri Selangor, mencari penyelesaian banjir kilat melalui JPS serta meneliti amalan terbaik pengurusan banjir DBKL,” katanya dalam kenyataan di Facebook miliknya hari ini.

Amirudin yang juga Ahli Parlimen Gombak berkata, beliau mahu setiap tindakan dilaksanakan dengan segera termasuk termasuk mempercepat usaha tebatan banjir dan penambahbaikan sistem saliran bagi mengurangkan risiko banjir berulang.

“Dalam masa yang sama, kebajikan mangsa terus menjadi keutamaan saya. Bantuan Khas Bencana Banjir Rakyat Selangor sebanyak RM3,000 disalurkan kepada setiap Ketua Isi Rumah (KIR) yang layak, tertakluk kepada syarat ditetapkan.

“Saya memahami keresahan rakyat, khususnya mereka yang berulang kali berdepan musibah banjir. Justeru, saya mahu setiap perancangan diterjemahkan kepada tindakan nyata serta merta, bukan sekadar hanya perbincangan,” katanya. – UTUSAN

The post Selangor teliti amalan terbaik pengurusan banjir DBKL appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved