
GEORGE TOWN : Pulau Pinang akan mengadakan sesi libat urus dengan pihak berkaitan terlebih dahulu bagi meneliti cadangan menaikkan had umur minimum perkahwinan umat Islam kepada 18 tahun.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata, perkara itu bagaimanapun masih belum dibincangkan secara khusus oleh kerajaan negeri.
Menurutnya, sesi libat urus berkenaan penting bagi mendapatkan maklumat serta menilai kebolehlaksanaan cadangan itu sebelum sebarang keputusan dibuat.
”Belum lagi, masih dalam proses. Bagaimanapun, perancangan ke arah itu belum dibincangkan.
”Mungkin kita akan adakan sesi libat urus terlebih dahulu untuk melihat kebarangkalian pelaksanaan perkara itu di negeri Pulau Pinang,” katanya selepas menghadiri majlis menandatangani perjanjian kerjasama antara Yayasan Islam Pulau Pinang (YIPP) dan Idrissi International School di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kemungkinan Pulau Pinang mengikuti langkah Selangor dan Kedah yang telah menaikkan had umur minimum perkahwinan umat Islam kepada 18 tahun.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, had umur minimum perkahwinan umat Islam di Pulau Pinang ketika ini masih ditetapkan pada 16 tahun.
Katanya, sesi libat urus itu turut membabitkan pihak kementerian sebelum kerajaan negeri mengumumkan perkembangan lanjut mengenainya.
Bagaimanapun, beliau tidak memperincikan tarikh pelaksanaan sesi libat urus berkenaan memandangkan tahun ini sudah hampir ke penghujungnya.
Dalam perkembangan berasingan, Mohamad berkata, pihaknya akan merujuk kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) berhubung dakwaan sebuah surau di Bukit Mertajam yang dikatakan milik jabatan itu diduduki warga Rohingya dan turut menyediakan bilik untuk disewakan.
Menurutnya, sebarang aduan berhubung perkara itu perlu dikemukakan kepada JHEAIPP bagi membolehkan Bahagian Penguatkuasaan menjalankan pemeriksaan, termasuk menyemak status pendaftaran surau berkenaan.
Katanya, sekiranya premis itu diduduki secara tidak sah, tindakan penguatkuasaan boleh diambil mengikut peruntukan dan peraturan sedia ada.
”Kalau ada kes sedemikian, laporan dan aduan perlu dibuat kepada JHEAIPP. Saya akan rujuk sama ada aduan sudah dibuat atau belum. Jika sudah, penguat kuasa boleh turun menjalankan pemeriksaan dan jika belum, kita minta aduan dibuat terlebih dahulu atau penguat kuasa boleh terus turun berdasarkan laporan yang tular itu,” katanya. – UTUSAN
The post Pulau Pinang teliti had umur minimum perkahwinan appeared first on Utusan Malaysia.






