Selangor teliti aspek kos pilih lokasi perasmian, penutup SUKMA

22 Jun 2026 • 9:00 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Selangor teliti aspek kos pilih lokasi perasmian, penutup SUKMA

SHAH ALAM, 22 JUN: Kerajaan Negeri akan muktamadkan lokasi majlis perasmian dan penutup Sukan Malaysia (SUKMA) serta Para SUKMA 2026 yang akan berlangsung serentak dalam masa terdekat dengan mengambil kira penjimatan perbelanjaan.

EXCO Sukan Najwan Halimi berkata pendekatan berkenaan bagi memastikan tumpuan lebih terarah kepada penganjuran acara sukan selaras titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj sebelum ini.

“Majlis perasmian SUKMA akan diadakan bersama dengan perasmian Para SUKMA. Ini merupakan sebahagian daripada pendekatan untuk kita lakukan penjimatan” katanya kepada Media Selangor.

Image from: Selangor teliti aspek kos pilih lokasi perasmian, penutup SUKMA
Yang Dipertua Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) Awaluddin Zakaria membawa obor SUKMA dan EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi turut serta dalam Program Larian BARA X Semarak SUKMA Selangor XXII 2026 di Dataran Bagan Terap Sungai Besar, Sabak Bernam pada 14 Jun 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Sebelum ini, Litar Antarabangsa Petronas Sepang diumum lokasi perasmian temasya dwitahunan yang akan berlangsung mulai 15 hingga 24 Ogos manakala Para SUKMA dari 5 hingga 10 September.

Sebanyak 469 acara dipertandingkan daripada 37 jenis sukan akan dipertandingkan di sembilan daerah membabitkan 52 gelanggang pertandingan manakala Para SUKMA melibatkan 10 jenis sukan dan 316 acara di daerah Petaling serta Klang.

Pada 20 April, Sultan Sharafuddin mencadangkan penganjuran SUKMA Selangor 2026 ditangguhkan sehingga krisis di Asia Barat selesai dan Stadium Shah Alam siap sepenuhnya.

Baginda bertitah cadangan itu dibuat berikutan penganjuran temasya dwitahunan tersebut memerlukan peruntukan yang sangat tinggi dalam keadaan ekonomi semasa.

Bagaimanapun, Baginda memberi perkenan supaya SUKMA 2026 diteruskan secara berhemah dan berjimat cermat selepas mendengar taklimat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sementara itu, Najwan memaklumkan pihaknya juga dalam proses memohon dana tambahan untuk mengambil kira-kira 5,000 orang sukarelawan yang akan membantu melancarkan penganjuran SUKMA edisi ke-22 selain menjadi ejen pelancongan dan mempromosi lokasi menarik di negeri ini.

Beliau menjelaskan jumlah berkenaan merupakan tambahan kepada 5,000 sukarelawan yang diumum sebelum ini.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved