
SHAH ALAM, 14 SEPT: Selangor menilai pelaburan baharu pusat data berdasarkan kecekapan tenaga dan kesiapsiagaan infrastruktur bagi memastikan bekalan elektrik kepada isi rumah serta sektor perindustrian tidak terjejas.
EXCO Pelaburan Ng Sze Han berkata pendekatan itu penting ketika Selangor terus menarik pelaburan pusat data, selain memastikan pertumbuhan sektor berkenaan kekal seimbang dan mampan.
“Setiap pelaburan baharu dinilai dari segi kecekapan tenaga dan kesiapsiagaan infrastruktur supaya bekalan kepada isi rumah dan sektor perindustrian tidak terjejas,” katanya ketika dihubungi Media Selangor.
Menurut beliau, kapasiti dan bekalan elektrik berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan menerusi Suruhanjaya Tenaga dan Tenaga Nasional Berhad (TNB), manakala peranan Selangor adalah memastikan pelaburan pusat data berkembang secara seimbang dan mampan.
Perkembangan itu berlaku ketika timbul kebimbangan terhadap peningkatan penggunaan elektrik oleh pusat data susulan kenaikan suhu di seluruh negara, dengan kerajaan merancang menambah kapasiti penjanaan tenaga berasaskan gas sebanyak sembilan gigawatt (GW) menjelang 2032.
Pada 8 September, Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga Siti Safinah Salleh berkata pusat data merekodkan penggunaan 9.3 peratus daripada keseluruhan elektrik negara pada minggu kedua Ogos.
Angka itu lebih tinggi berbanding purata tujuh peratus daripada keseluruhan penggunaan elektrik negara setakat tahun ini.
Sze Han berkata pengendali pusat data turut digalakkan menggunakan sumber tenaga boleh baharu termasuk tenaga solar dan program tenaga hijau Kerajaan Persekutuan, selain teknologi penyejukan cekap tenaga.
Beliau berkata unjuran permintaan tenaga jangka panjang ditentukan di peringkat nasional menerusi kerjasama Suruhanjaya Tenaga dan TNB, manakala Selangor turut berkongsi maklumat berkaitan sektor bagi membantu proses perancangan.
“Unjuran permintaan tenaga jangka panjang ditentukan di peringkat nasional bersama Suruhanjaya Tenaga dan TNB, dan Selangor turut berkongsi maklumat sektor bagi membantu perancangan,” katanya.



