Malaysia merupakan salah satu daripada negara-negara di Asia Pasifik yang sedang membangunkan sektor pusat data dan kecerdasan buatan secara mendadak. Dengan pembangunan pesat ini, ia juga dilihat bahawa pusat-pusat data ini menggunakan jumlah tenaga elektrik yang cukup banyak sekali.
Begitulah apa yang digambarkan oleh Siti Safinah Salleh, Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga yang mengatakan bahawa sektor tersebut sahaja kini menyumbangkan kepada 9.8 peratus jumlah penggunaan tenaga elektrik keseluruhan di Malaysia pada hari ini.

Malah, ia dijangka bahawa peratusan penggunaan tenaga elektrik ini akan meningkat lagi kerana sistem penyejukan pusat-pusat data ini akan bertambah kerana cuaca panas yang sedang dan akan dialami oleh negara ini dan juga pembukaan pusat-pusat data baru sekitar bulan November kelak.
Beliau juga mengatakan bahawa permintaan bekalan kuasa negara sudah melebihi 21GW, tetapi tidak akan meningkat terlalu banyak dari segi penggunaan kapasiti puncak, tetapi penggunaan tenaga dijangka akan terus bertambah dengan pembukaan sejumlah lagi pusat data akan datang.
Dalam pada itu, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang merupakan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri hari ini telah mengatakan bahawa Pasukan Petugas Pusat Data dibawah kelolaan kementerian beliau telah menerima sebanyak 40 permohonan pada tahun ini oleh pelbagai syarikat untuk membina pusat data baharu ataupun menaiktarafkan pusat data sedia ada untuk membolehkan mereka menampung permintaan untuk kuasa pemprosesan dan inferens data yang dikatakan semakin meningkat.
Melalui pasukan petugas tersebut, Suruhanjaya Tenaga dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara juga sedang membangunkan rangka kerja dan garis panduan yang berkaitan bagi menyokong pembangunan mampan industri pusat data akan datang.
Kelak, pusat-pusat data yang dibangunkan di Malaysia akan menggunakan sumber tenaga dan air yang lestari dan mampan, dan akan hadir dengan corak penggunaan yang lebih cekap dan tidak membebankan keperluan dan penggunaan tenaga oleh rakyat dan juga sektor perniagaan yang lain.
Beliau turut mengatakan bahawa subsektor maklumat dan komunikasi yang merangkumi sektor pusat data telah melaporkan pelaburan yang telah diluluskan bernilai RM103 bilion sepanjang separuh pertama 2026 dengan pelaburan keseluruhan dalam sektor perkhidmatan dianggarkan bernilai RM149 bilion.
Projek pusat data dan pengkomputeran awan sahaja telah menyumbang RM95.8 bilion, atau hampir 44% daripada keseluruhan pelaburan yang diluluskan dalam tempoh tersebut, manakala kelulusan pelaburan berkaitan pusat data telah mencecah RM385.7 bilion sejak tahun 2021.
Sumber: Bernama, The Edge Malaysia





