
SHAH ALAM, 8 OKT: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI sedang meneroka pendekatan baharu dalam pengurusan air dan infrastruktur bagi menyokong pertumbuhan pusat data serta sektor teknologi tinggi di Selangor.
Antara usaha yang sedang dibangunkan ialah kitar semula air, meter pintar, penggunaan tenaga boleh baharu dan peluasan rangkaian digital.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBI, Dato’ Saipolyazan M. Yusop berkata inisiatif itu bertujuan mengurangkan tekanan terhadap sumber air konvensional, di samping membuka peluang perniagaan baharu dan menyokong industri yang menggunakan air dalam jumlah besar.
“Setakat ini, kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan telah meluluskan 40 pusat data di Selangor.
“Pusat data menggunakan banyak air. Sebab itu mereka memilih Selangor kerana bekalan air kita stabil. Kita mempunyai margin rizab 18 peratus.
“Walaupun banyak projek dilaksanakan untuk menambah baik perkhidmatan dan sistem bekalan air, kita berjaya mengurangkan kadar air tidak berhasil (NRW) kepada 26.8 peratus dan pencapaian itu diiktiraf Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).
“Kita sedang membangunkan keseluruhan ekosistem air dan menjadikannya sebagai perniagaan yang boleh dilabur bagi menarik lebih banyak industri ke Selangor,” katanya dalam wawancara bersama Astro Awani.
MBI sedia penyelesaian masa depan
Saipolyazan berkata anak syarikat MBI, Air Lestari Sdn Bhd sedang membangunkan sistem kitar semula air untuk industri yang menggunakan air dalam jumlah besar.
Katanya, sistem itu menyasarkan untuk mengitar semula antara 70 hingga 80 peratus air yang digunakan oleh kilang sebelum disalurkan semula kepada industri berkenaan.
MBI turut menggunakan tenaga boleh baharu bagi menyokong industri air menerusi anak syarikat Heliosel Sdn Bhd.
Setakat ini, Heliosel telah menjana kira-kira 35 megawatt (MW) tenaga elektrik untuk Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd yang menguruskan 2.4 juta akaun di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Sementara itu, Cubiq Meters Sdn Bhd pula sedang membangunkan meter pintar bagi meningkatkan ketepatan bacaan meter dan membantu mengesan kebocoran paip.
“Kita menggunakan meter pintar untuk meningkatkan kecekapan dan ketepatan bacaan meter, selain mengesan kebocoran dalam sistem paip,” katanya.
Saipolyazan berkata pelbagai inisiatif itu membolehkan MBI menyediakan perkhidmatan berkaitan air secara lebih menyeluruh, selain membuka peluang membawa kepakaran berkenaan ke pasaran lain.
“Kita menyediakan keseluruhan ekosistem air. Kita boleh menyediakan perkhidmatan bukan sahaja dari segi bekalan air, malah kitar semula air,” katanya.
Beliau berkata MBI turut memperluas infrastruktur digital sebagai persediaan menyokong pertumbuhan pusat data dan pelaburan teknologi tinggi di Selangor.
Katanya, anak syarikat Smartsel Sdn Bhd telah membangunkan 42 kilometer rangkaian gentian gelap di Cyberjaya dan merancang memperluaskannya kepada 889 kilometer di seluruh Selangor.
“Ini adalah antara persediaan kita untuk masa depan dan bagi menyokong sebarang pembangunan pusat data di Selangor,” katanya.




