Mah Sing, Kinergy teroka bangunkan loji tenaga sokong projek pusat data di Bangi dan Pasir Gudang

LocalBusiness & Finance
2 Oct 2026 • 12:30 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Mah Sing, Kinergy teroka bangunkan loji tenaga sokong projek pusat data di Bangi dan Pasir Gudang Image from: Mah Sing, Kinergy teroka bangunkan loji tenaga sokong projek pusat data di Bangi dan Pasir Gudang amree02/10/2026 - 12:30 (DARI kiri) Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Mah Sing, Datuk Voon Tin Yow serta Timbalan Pengerusi Eksekutif Kinergy, Datuk Dr Lai Keng Onn memeterai kerjasama. Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 2 Okt — Mah Sing Group Berhad dan Kinergy Advancement Berhad meneroka rumusan tenaga boleh diperbaharui (RE) khusus bagi menyokong projek infrastruktur digital terutama pembangunan projek pusat data (DC) di Selangor dan Johor.

 

Kerjasama tersebut melibatkan penerokaan loji jana kuasa bekalan tenaga khas (CPP) di bawah Skim Bekalan RE Korporat (CRESS) bagi cadangan pembangunan DC di Southville City, Bangi, Selangor dan Meridin East, Pasir Gudang, Johor.

 

Mah Sing, menerusi anak syarikatnya, Garden Vista Development Sdn Bhd (GVDSB) memeterai kerjasama tidak mengikat dan tidak eksklusif untuk menyediakan khidmat nasihat teknikal serta meneroka rumusan infrastruktur tenaga di kedua-dua tapak.

 

"Kinergy akan bertindak sebagai penasihat teknikal dengan menyediakan input awal teknikal dan komersial, termasuk keperluan tenaga, kawal selia, teknologi, saiz loji, kesesuaian tapak, serta struktur projek," kata Mah Sing dalam kenyataan.

 

Kerjasama berkenaan menggabungkan keupayaan Mah Sing dalam pembangunan dan perancangan tapak dengan pengalaman Kinergy dalam penjanaan tenaga, kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC), serta rumusan RE mampan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Mah Sing, Dauk Voon Tin Yow berkata, bagi DC berskala besar, tenaga sama pentingnya dengan tanah, sambungan rangkaian dan bekalan air, justeru perancangan infrastruktur awal perlu bagi meningkatkan kebolehskalaan projek.

 

Buka Nilai Tambahan Daripada Bank Tanah

Menurut beliau, kerjasama dengan Kinergy membolehkan kedua-dua pihak dapat menilai peluang berkenaan sambil memberi fleksibiliti kepada Mah Sing ketika projek berkenaan terus berkembang.

 

"Mah Sing kini membangunkan strategi infrastruktur digital melalui tiga pendekatan iaitu menjana nilai aset, membangunkan dan memiliki, dengan matlamat membuka nilai tambahan daripada bank tanah serta mewujudkan peluang pendapatan berulang," jelasnya.

 

Antara projek kumpulan itu ialah Mah Sing DC Hub @ Southville City, Meridin East di Pasir Gudang dan MS Industrial Park @ Kulai, dengan Southville City disasarkan sebagai lokasi khusus untuk pengendali infrastruktur skala besar dan kecerdasan buatan (AI).

 

Pemilikan aset DC secara langsung berpotensi membolehkannya membangunkan aset DC secara bina-untuk-sewa yang disokong tempoh pajakan lebih panjang, sekali gus membuka peluang hasil berulang dan membentuk portfolio infrastruktur digital yang boleh dikembangkan.

 

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Eksekutif merangkap Pengarah Urusan Kumpulan Kinergy, Datuk Dr Lai Keng Onn berkata, pengalaman kumpulan itu dalam kejuruteraan elektrik, infrastruktur dan penjanaan tenaga memberi asas teknikal yang kukuh.

 

"Kami berupaya untuk menilai bagaimana penjanaan CPP boleh melengkapkan bekalan grid konvensional serta memberi fleksibiliti tambahan dalam memenuhi keperluan tenaga DB yang besar secara berterusan," tambah beliau. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved