
SUNGAI BULOH, 3 OGOS: Kerajaan Selangor terus memperkukuh pembangunan pendidikan menerusi pelaksanaan Program Nutrisi Selangor (NUTRISEL) dan Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) bagi memastikan lebih ramai pelajar mendapat akses kepada pembelajaran serta pemakanan berkualiti.
Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata usaha itu mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah membesar dalam persekitaran yang menyokong perkembangan fizikal.
"Sebab itu Kerajaan Negeri memberikan penumpuan kepada bidang pendidikan. Kita ada Program Tuisyen Rakyat yang turut diperkatakan di seluruh negara. Ada 160,000 pelajar-pelajar dapat tuisyen percuma yang diusahakan pihak kerajaan negeri," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutup Pertandingan Kawad Kaki Pasukan Badan Beruniform Piala Dato' Menteri Besar Selangor 2026 di Padang Kawad Markas Operasi Siber dan Elektromagnet (MOSEP), Kem Paya Jaras di sini, hari ini.

Menurut Amirudin, Program NUTRISEL yang bermula hari ini akan memberi manfaat kepada 106,000 pelajar di 962 sekolah di seluruh Selangor dalam tempoh selama tiga hingga enam bulan.
"Program NUTRISEL, iaitu program sarapan dan makan tengah hari percuma untuk memastikan anak-anak ini ataupun seseorang yang terlibat dalam program ini bukan sahaja dapat pergi ke sekolah, mengikuti pendidikan, ada tuisyen, tetapi mempunyai gizi ataupun nutrisi yang seimbang demi pembangunan fizikal," katanya.
Beliau berkata Kerajaan Negeri tidak hanya memberi tumpuan kepada aspek pembelajaran, malah turut mengambil kira keperluan pemakanan pelajar bagi menyokong perkembangan fizikal serta proses pembelajaran yang lebih berkesan.
Menurutnya, pelaburan dalam pendidikan merupakan antara keutamaan Kerajaan Negeri bagi memastikan generasi muda mempunyai peluang yang lebih baik untuk membina masa depan serta menyumbang kepada pembangunan Selangor.






