
SHAH ALAM, 27 JULAI: Selangor Travel Fair (STF) 2026 berjaya menarik lebih 50,000 pengunjung sepanjang dua hari penganjurannya di Pasar Seni, Kuala Lumpur, sekali gus mencatatkan jualan melebihi RM150,000.
Tourism Selangor dalam kenyataan memaklumkan sambutan menggalakkan itu membuktikan Selangor Travel Fair terus menjadi platform berkesan mempromosikan pelancongan negeri selain merancakkan pertumbuhan industri berkenaan.
Berlangsung pada 25 dan 26 Julai, Selangor Travel Fair menghimpunkan 40 pempamer daripada pelbagai sektor pelancongan termasuk taman tema, ekopelancongan, agropelancongan, warisan, gastronomi, hospitaliti dan lokasi rekreasi.

EXCO Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Dato' Ng Suee Lim berkata Selangor Travel Fair memainkan peranan penting dalam memperkukuh usaha mempromosikan pelancongan negeri.
"Selangor Travel Fair ialah platform penting untuk memperkukuh usaha promosi pelancongan, mengetengahkan kepelbagaian pengalaman yang ditawarkan di Selangor dan mengukuhkan lagi kedudukan negeri ini sebagai destinasi paling banyak dikunjungi di Malaysia.
"Inisiatif ini juga mencerminkan komitmen berterusan kita untuk mencapai sasaran sembilan juta pelancong sempena Tahun Melawat Selangor 2026," katanya.
Menurut Tourism Selangor, edisi tahun ini turut diadakan bersempena sambutan Jubli Perak agensi itu yang menandakan 25 tahun memacu pembangunan industri pelancongan, pembangunan destinasi dan kerjasama strategik.

Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor Chua Yee Ling berkata tema 'Silver in Motion' melambangkan komitmen berterusan agensi itu dalam membangunkan ekosistem pelancongan yang mampan dan berdaya saing.
"Sepanjang 25 tahun lalu, Tourism Selangor bekerjasama rapat dengan pemain industri dan rakan strategik untuk membangunkan produk pelancongan, menganjurkan acara berimpak tinggi serta mempromosikan keunikan Selangor.
"Sempena pencapaian ini, fokus kami kekal untuk membentuk masa depan pelancongan Selangor dan menawarkan pengalaman bermakna kepada pelancong tempatan serta antarabangsa," katanya.
Sepanjang dua hari penganjuran, pengunjung menikmati pelbagai aktiviti termasuk persembahan kebudayaan, muzik tradisional, bengkel kreatif, sesi videografi, saringan kesihatan percuma, pengalaman pelancongan interaktif, podcast secara langsung dan promosi pelancongan eksklusif.

Acara itu turut dimeriahkan dengan persembahan Wani Kayrie, Mohsein Kush, Puteri Haffira (Ella Junior), Hussain Jamalulhayat, Mamat Exists dan Kumpulan Bob Sentuhan.
Selangor Travel Fair 2026 turut menyaksikan pelancaran lagu tema "Surprising Selangor Kan Ada" berserta video muziknya sebagai sebahagian usaha kreatif mempromosikan pelancongan negeri.
Tourism Selangor berkata Selangor kekal sebagai negeri paling banyak dikunjungi di Malaysia pada 2025 apabila merekodkan 36.4 juta pelawat domestik untuk tahun kelima berturut-turut, sekali gus membuktikan sumbangan besar sektor pelancongan kepada ekonomi negeri.





