Tourism Selangor pergiat promosi capai sasaran sembilan juta pelancong

LocalTravel
25 Jul 2026 • 7:00 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Tourism Selangor pergiat promosi capai sasaran sembilan juta pelancong

KUALA LUMPUR, 25 JULAI: Tourism Selangor giat menganjurkan pelbagai program sepanjang baki empat bulan Tahun Melawat Selangor 2026 (TMS2026) bagi mencapai sasaran sembilan juta pelancong ke negeri itu.

EXCO Pelancongan Dato’ Ng Suee Lim berkata, Selangor Travel Fair 2026 menjadi antara platform utama untuk memperkukuh promosi pelancongan, sekali gus mengetengahkan kepelbagaian produk serta pengalaman menarik yang ditawarkan di Selangor.

“Selangor Travel Fair 2026 merupakan platform penting untuk memperkukuh promosi pelancongan, mempamerkan kepelbagaian pengalaman yang ditawarkan di Selangor serta mengukuhkan lagi kedudukan negeri ini sebagai destinasi paling ramai dikunjungi di Malaysia.

“Penganjuran ini juga mencerminkan komitmen berterusan kami untuk mencapai sasaran sembilan juta pelancong sempena Tahun Melawat Selangor 2026,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Selangor Travel Fair 2026 yang berlangsung selama dua hari hingga esok di Pasar Seni, di sini hari ini.

Suee Lim berkata, pengunjung turut berpeluang menikmati pelbagai pakej percutian menarik dengan diskaun sehingga 50 peratus sepanjang penganjuran karnival itu.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Tourism Selangor atas kejayaan menganjurkan Selangor Travel Fair sempena sambutan Jubli Perak agensi berkenaan.

Katanya, pencapaian itu melambangkan 25 tahun usaha berterusan Tourism Selangor dalam memacu pertumbuhan industri pelancongan, membangunkan destinasi serta menjalin kerjasama strategik bagi mengangkat profil pelancongan Selangor di peringkat domestik dan antarabangsa.

Mengulas prestasi sektor pelancongan negeri, beliau berkata Selangor terus mengekalkan kedudukannya sebagai negeri paling ramai dikunjungi di Malaysia selama lima tahun berturut-turut sejak 2021.

“Pada 2025, Selangor merekodkan 36.4 juta pelawat domestik, meningkat 5.5 peratus berbanding 34.5 juta pelawat pada tahun sebelumnya.

“Pencapaian ini membuktikan keyakinan berterusan masyarakat terhadap produk dan pengalaman pelancongan yang ditawarkan di Selangor,” katanya

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved