Selat Hormuz bakal jadi laluan ‘tidak bernilai’ dalam dua tahun

WorldPolitics
2 Sep 2026 • 9:18 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Selat Hormuz bakal jadi laluan ‘tidak bernilai’ dalam dua tahun

WASHINGTON: Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS), Scott Bessent berkata Selat Hormuz mungkin tidak lagi menjadi laluan penting dalam tempoh dua tahun apabila penghantaran minyak beralih kepada laluan alternatif melalui saluran paip darat, lapor Anadolu.

Menurut Bessent, perkembangan itu akan mengurangkan kebergantungan dunia terhadap laluan perairan strategik berkenaan yang didakwa cuba digunakan Iran sebagai titik sekatan.

“Kita perlu mengurangkan risiko di seluruh dunia. Kita dapat melihat Iran cuba menggunakan Selat Hormuz sebagai titik sekatan,” katanya dalam temu bual di Asheville, Carolina Utara.

Beliau berkata, Selat Hormuz bukan titik sekatan bagi AS, tetapi amat penting kepada banyak negara lain.

Bessent berkata, laluan berkenaan akan dapat dielakkan dalam tempoh dua tahun apabila minyak mula disalurkan melalui saluran paip merentasi daratan.

“Dalam tempoh dua tahun, Selat Hormuz akan menjadi sekadar laluan air yang tidak bernilai,” katanya.

Bessent turut mendakwa Iran kini berdepan kesukaran mendapatkan mata wang asing, selain inflasi yang melambung tinggi.

Menurutnya, Teheran terpaksa mencetak wang melalui bank pusat bagi membayar gaji kakitangan kerajaan dan anggota tenteranya.

Mengenai sekatan tambahan terhadap Iran, Bessent berkata Washington mungkin mengumumkan sekatan terhadap sebuah bank negara itu minggu ini, diikuti pengumuman baharu pada minggu depan.

“Kami mungkin akan mengumumkan sekatan terhadap sebuah bank minggu ini dan satu lagi pada minggu berikutnya,” katanya.

Beliau berkata Washington turut berhubung dengan sekutunya dan mendapat sokongan meluas daripada negara lain.

“Kami melihat sokongan yang besar dari seluruh dunia dan tidak akan bertolak ansur. Kami akan melumpuhkan rejim ini dari segi ekonomi,” katanya.

Bessent berkata Washington juga akan menyasarkan aset rejim berkenaan yang didakwa diperoleh secara haram daripada rakyat Iran.

Beliau berjanji aset berkenaan akan disalurkan kepada rakyat Iran, mangsa keganasan atau keluarga anggota tentera AS.

“Kami akan menghentikan keupayaan rejim ini memiliki senjata nuklear, menyimpan uranium diperkaya tinggi, menyebarkan kuasa keganasan menerusi rangkaian proksi serta mengganas di rantau Teluk,” katanya.

Beliau turut memberi amaran kepada pihak yang terlibat supaya memilih sama ada menyokong atau menentang Washington.

Ketegangan antara Teheran dan Washington kekal tinggi sejak perang tercetus susulan serangan ke atas Iran pada akhir Februari.

Satu rangka kerja perjanjian dicapai pada Jun menerusi pengantaraan Pakistan dan Qatar.

Bagaimanapun, AS melancarkan kempen pengeboman selama dua minggu pada Julai dan mengenakan semula sekatan laut selepas tercetus pertikaian mengenai pelayaran di selat berkenaan.

The post Selat Hormuz bakal jadi laluan ‘tidak bernilai’ dalam dua tahun appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved